top of page

IBM tinggalkan Malaysia: Pelabur asing hilang keyakinan akibat pergolakan politik negara?



Krisis keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia semakin parah apabila pelabur yang telah bertapak berdekad-dekad lamanya seperti International Business Machines Corporation (IBM) mengumumkan akan menutup pusat operasinya di Cyberjaya pada 31 Mei ini.


Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, situasi ini amat membimbangkan selepas pelbagai syarikat gergasi meninggalkan negara baru-baru ini, termasuk Hyundai dan Panasonic.


Ironinya, kata Anwar, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya bersikap acuh tidak acuh dengan apa yang berlaku dan menteri kanan yang bertanggungjawab menjaga pelaburan menyatakan Malaysia kini lebih memilih pelaburan berkualiti berbanding pelabur berskala kecil dan sederhana.


"Situasi ini sangat memprihatinkan tatkala negara terus kehilangan ribuan pekerjaan di sektor teknologi dan pembuatan kepada negara-negara tetangga di rantau Asean. Kita juga turut bimbang tentang nasib rakyat yang terkesan dengan langkah ini dan apakah kerajaan PN punya kemampuan untuk mendepani permasalahan ini.


"Kita juga mendapati reaksi santai menteri bertanggungjawab itu hanya menonjolkan sikap pemerintah yang tidak faham realiti semasa yang dihadapi negara," kata Anwar dalam satu kenyataan.


Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengingatkan kerajaan PN bahawa Laporan United Nations Conference on Trade and Development (Unctad) pada bulan Januari 2021 lalu jelas menyatakan kadar pelaburan asing (FDI) ke Malaysia merudum lebih dua pertiga kepada hanya AS$2.5 bilion pada 2020, menjadikan ia penurunan yang paling dahsyat di rantau Asia Tenggara.


Pada bulan Januari 2021 juga, kata Anwar, negara dikejutkan dengan komen Ketua Pengarah Eksekutif EU-Malaysia Chamber of Commerce and Industry (EUROCHAM) yang menyuarakan “kebimbangan terkait Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang ampuh”.


Selain itu, rakyat juga bimbang melihat fakta semakan semula oleh agensi Fitch Ratings mengenai Penarafan Kemungkinan Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ dari ‘A-‘ pada bulan Disember tahun lalu, sambil menambah “ketidaktentuan politik susulan daripada perubahan dalam kerajaan pada bulan Mac memberi tekanan kepada jangkaan dasar serta prospek penambahbaikan dalam piawaian tadbir urus”.


"Setelah satu tahun berada di puncak kuasa, kerajaan PN masih gagal mendepani secara jujur persoalan terkait keberkesanan mereka sebagai kerajaan yang lemah tanpa mandat legislatif yang jelas.


"Pengisytiharan darurat dan tindakan menggantung Parlimen diandaikan oleh sektor swasta sebagai langkah terdesak terus berpaut pada kuasa. Langkah darurat merobek keyakinan kepada kerajaan PN, kerangka kebijakannya serta komitmen pada tatakelola yang baik dan negara hukum.


"Keputusan-keputusan yang dibuat kerajaan PN menampakkan kecenderungannya pada kesepakatan tertutup dan rencana dalam gelap, di mana ia bertentangan dengan usaha dan upaya kita untuk menarik pelaburan dan membina keyakinan pada ekonomi," katanya.


Pengerusi Pakatan Harapan itu mengingatkan, selepas segala kecuaian yang dilakukan kerajaan PN, mereka masih juga mahu menjalankan projek secara semberono.


Contoh terbaharu, katanya, adalah perencanaan pemerintah untuk meluncurkan pengedaran spektrum teknologi generasi kelima (5G) menerusi Syarikat Bertujuan Khas (SPV).


"Projek ini boleh dikatakan sebagai strategi digital utama kerajaan PN dengan jumlah RM15 bilion, tetapi tanpa penelitian, tanpa perundingan dengan industri dan menjadi satu-satunya tatanan di dunia ini yang menggunapakai kaedah tersebut.


"Syarat perjanjian terkait projek 5G ini juga tidak jelas. Justeru, kita bimbang berapa banyak lagi pelabur yang akan meninggalkan Malaysia dan mencari destinasi pelaburan lain yang lebih selamat dan boleh dipercayai," kata Anwar.


Untuk rekod, projek pendigitalan kerajaan PN kali ini tidak sama dengan inisiatif Multimedia Super Corridor (MSC) yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad pada 1990an lalu.


MSC gah dengan penasihat-penasihat asing dan telus dari segi pelaburan. Namun projek 5G kerajaan PN tidak banyak diketahui falsafah pembangunan dan pelabur atau syarikat teknologi dari negara mana yang terlibat.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page