Ibadah haji lebih utama daripada kemenangan politik - Dr Zulkifli
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 2 min read

Pendapat Presiden Pas, Hj Hadi Awang bahawa ibadah haji ke Mekah boleh ditunda sekiranya bertembung dengan kemenangan politik Islam dalam konteks Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning dibidas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menurut Dr Zulkifli Hasan, Islam tidak mengajarkan umatnya mendahulukan kemenangan politik berbanding menunaikan ibadah haji.
"Ibadah haji dan umrah merupakan rukun dan ibadah utama dalam Islam.
"Ia tidak sepatutnya diperkecilkan atau dibandingkan dengan kepentingan politik kepartian.
"Islam tidak pernah mengajar kita untuk meninggalkan ibadah demi merebut kemenangan politik," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, kata beliau, sekiranyanya ibadah umrah maka rancanglah perjalanan dengan sebaik baiknya.
Namun Dr Zulkifli menasihati umat Islam yang telah terpilih mengerjakan haji pada tahun ini agar meneruskannya kerana mereka telah dipilih oleh Allah untuk ke baitullah dalam kalangan berbilion umat.
"Sesiapa yang telah terpilih sebagai Dhuyufur Rahman, sambutlah seruan dan pergilah menunaikan haji dengan penuh keikhlasan.
"Anda telah dipilih oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala dalam kalangan berbilion umat Islam, jadi rebutlah peluang ini untuk beribadah setulusnya," ujarnya.
Mengenai fatwa pula, kata Dr Zulkifli, belum ada fatwa khusus mengenai menangguhkan haji demi merebut kemenangan politik sebagaimana disuarakan oleh Hj Hadi.
"Setakat ini, belum ada fatwa pihak berautoriti seperti Jabatan Mufti atau Muzakarah MKI atau mana-mana badan fatwa yang mengatakan kemenangan politik lebih utama berbanding tunai umrah dan haji.
"Menyatakan 'kemenangan politik' sebagai lebih utama dari tunai umrah dan haji memerlukan penelitian lebih mendalam dan dilakukan dengan penuh hati-hati agar ia tidak disalah erti. Bahkan boleh menatijahkan pemikiran ekstrem, ketaksuban dan kefanatikan.
"Fatwa juga perlu bebas dari elemen politik kepartian dan dilakukan dengan penuh amanah dan tanggungjawab serta mengambil kira kesan atau 'al-maalat' fatwa atau pandangan itu sendiri," katanya lagi.
Semalam Hj hadi menyatakan pendapatnya agar umat Islam mengutamakan kemenangan dalam landskap politik negara, termasuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji ke Mekah.
"Utamakan kemenangan politik. Nabi nak tunaikan haji pun...nabi mendahulukan kemenangan politik daripada tunaikan haji dan umrah.
"(Ia) boleh ditangguh, kemenangan politik tidak boleh ditangguh," katanya ketika berceramah pada majlis kempen calon PN untuk PRK DUN Ayer Kuning di Tanjung Keramat, Perak, dipetik Malaysiakini.
Kommentarer