Oleh: Akmal Manaf
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dicadangkan untuk memberi pinjaman hanya kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam sektor yang menjadi fokus dan keutamaan negara.
Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Arshad Hassni berkata demikian bagi mengelakkan PTPTN terbeban dengan hutang yang menggunung tinggi sehingga menyukarkan generasi masa hadapan untuk memperolehi pinjaman daripada tabung berkenaan.
Menurut Arshad, sektor-sektor yang amat diperlukan negara pada masa ini adalah berkaitan peralihan tenaga, elektrik dan elektronik (E&E), kecerdasan buatan (AI) dan bidang-bidang lain yang menawarkan banyak peluang pekerjaan.
"Pendekatan ini selaras dengan Belanjawan 2025 yang memperuntukkan RM500 juta khusus untuk pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
"Dengan menumpukan pembiayaan kepada bidang-bidang strategik ini, kita dapat memastikan graduan tidak terbeban dengan hutang akibat ketiadaan pekerjaan atau gaji yang rendah selepas tamat pengajian.
"Langkah ini juga akan membantu penstrukturan bakat ke arah bidang berkemahiran tinggi, serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang amat diperlukan dalam pasaran kerja semasa," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut Arshad lagi, pihaknya percaya bahawa strategi pembiayaan yang berfokus akan meningkatkan kebolehpasaran graduan, menyokong pertumbuhan ekonomi negara, dan memastikan pelaburan dalam pendidikan memberikan pulangan optimum kepada individu dan masyarakat.
Beliau yang juga Ketua AMK Segambut bagaimanapun menzahirkan sokongan terhadap usaha PTPTN dalam memastikan keberkesanan pembiayaan pendidikan.
Namun katanya, langkah berkenaan perlu dilaksanakan dengan teliti agar tidak menjejaskan akses pelajar kepada pendidikan tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir baru baru ini dipetik berkata, sehingga 31 Disember 2023 PTPTN telah meluluskan sebanyak 3,951,404 pinjaman dengan jumlah keseluruhan dikeluarkan sebanyak RM71.3 bilion.
Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 2,716,110 pinjaman sepatutnya mula dibayar balik dengan amaun patut bayar balik keseluruhan berjumlah RM32.29 bilion.
Komentar