Hukuman sebat secara terbuka ke atas seorang pesalah kes khalwat di Terengganu yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah negeri itu tidak boleh dijadikan bahan politik.
Menurut Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, hukuman sebat di khalayak umum itu mempunyai sebab tersendiri dijatuhkan oleh hakim, dan tidak sewajarnya dianggap sebagai hukum utama jenayah syariah atau perlu dicontohi oleh negeri lain.
Katanya, khalwat bukanlah kesalahan di bawah hudud seperti zina yang boleh dirotan 100 kali, sebaliknya ianya bersifat pencegahan dan hukuman adalah ijtihad pemerintah.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negara tersebut menolak pendapat Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang menyeru hukuman sebatan terbuka diikuti oleh Kerajaan Negeri lain di bawah pemerintahan Pas.
"Beliau (Hashim) seolah melihat hukuman sebat terbuka itu boleh dibuat sesuka hati tanpa merujuk kepada falsafah dan tujuan hukuman dalam Syariat Islam.
"Selain itu apakah beliau menganggap kerajaan negeri di bawah Pas gagal mengawal fenomena khalwat sehingga memerlukan sebatan terbuka untuk memberi pengajaran?
"Adakah Murshidul Am Pas itu menganggap usaha dakwah kerajaan negeri Pas selama ini telah gagal sehingga sebatan terbuka perlu dilakukan?" tanyanya dalam kenyataan.
Bagi Dr Mujahid, hukum sebat tidak perlu dipolitikkan seolah olah hukuman itu adalah segala galanya dalam melaksanakan hukum jenayah syariah.
Katanya, mentaliti seperti itu akan melahirkan pentaksub yang tidak dapat menerima pandangan lain dan berfahaman semua kesalahan khalwat perlu disebat secara terbuka.
Beliau berkata, ijtihad hakim di terengganu itu hanya kepada seorang pesalah tersebut sahaja dengan perkiraan tertentu yang perlu dihormati dan sewajarnya bebas dari perkiraan politik.
"Seharusnya isu ini menjadi alasan untuk kita memperkukuhkan lagi peruntukan dalam Undang undang Jenayah Syariah dengan memasukkan peruntukan hukuman bersifat rehabilatatif atau reform yang tiada dalam peruntukan Jenayah Syari'ah hari ini.
"Hakim tiada pilihan untuk melaksanakan hukuman rehabilatatif melainkan denda sedangkan faktor lain seperti fenomena sosial langit terbuka, kemiskinan dan institusi keluarga yang juga merupakan faktor penyumbang kepada kesalahan jenayah syariah.
"Institusi rehabilatatif perlu diperkasakan seperti bon berkelakuan baik, kerja komuniti ataupun mengikuti sesi kaunseling secara wajib sehingga diperbaiki akhlak dan keperibadian OKT menjadi seorang Muslim yang baik," katanya.
Dr Mujahid turut berkata keseragaman undang undang perlu dilakukan di antara negeri-negeri bagi membuktikan keadilan Islam, agar tiada negeri yang mengenakan hukuman berbeza-beza dari peruntukan kesalahan jenayah syariah yang sama.
Comments