Penganalisis politik meramalkan Pas akan memperkenalkan pelaksanaan undang-undang Islam lebih ketat bagi mengalih perhatian daripada kelembapan pertumbuhan ekonomi di negeri pimpinan mereka.
Prof Madya Dr Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, hukuman sebat di khalayak ramai yang dilaksanakan di Terengganu baru-baru ini kemungkinan digunakan oleh parti itu bagi mengukuhkan sokongan asas pengundi konservatifnya.
"Mereka nampaknya tidak mempunyai idea untuk membangunkan atau memperkukuh ekonomi," katanya yang dipetik dari FMT.
Pada Jumaat lalu, seorang pesalah khalwat berulang, Affendi Awang, 42, telah disebat enam kali di hadapan 90 saksi di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu.
Hukuman itu menerima kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Majlis Peguam Malaysia dan G25, kumpulan pesara kanan perkhidmatan awam.
Awang Azman berkata pelaksanaan hukuman tersebut akan berkesan kepada asas sokongan konservatif Pas di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, di mana isu pemeliharaan moral menjadi keutamaan pengundi.
"Pas faham bahawa hukuman sebat di khalayak ramai mungkin tidak penting bagi pengundi di Kuala Lumpur atau kawasan lain di pantai barat Semenanjung Malaysia, tetapi ia adalah isu yang besar bagi asas sokongan mereka di pantai timur, Kelantan dan Terengganu," katanya.
Tambahnya, langkah tersebut boleh dijadikan strategi bagi mengukuhkan kesetiaan penyokong teras mereka menjelang pilihan raya umum akan datang yang bakal diadakan sebelum 2027.
Manakala penganalisis politik Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre pula berkata Pas sedang berusaha keras untuk memperkukuh sokongan pengundi Melayu bagi mengekalkan penguasaannya.
Di Terengganu, Pas berjaya menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan lapan Parlimen dengan kerjasama sekutunya dalam Perikatan Nasional.
"PAS tidak mampu untuk kalah (di empat negeri) atau melihat kekuatannya merosot," katanya.
Beliau berkata parti itu sedang memposisikan dirinya sebagai pembela utama Melayu dan Islam, termasuk dengan menentang penyertaan umat Islam dalam perayaan Krismas.
Pada Ahad, Pas mengancam tindakan undang-undang terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, atas “tuduhan pengecut” dan “fitnah jahat” selepas pemimpin DAP itu mengkritik bantahan parti tersebut terhadap acara Krismas yang diadakan oleh kementeriannya.
"Pas kemungkinan besar akan mengekalkan strateginya sekarang. Walaupun ada cadangan supaya Pas menarik sokongan pengundi bukan Melayu untuk memperluaskan asasnya, parti itu tidak bergerak ke arah tersebut," kata Hisomuddin.
Sementara itu, sumber di Pejabat Perdana Menteri mendedahkan bahawa keempat-empat negeri pimpinan Pas sering meminta dana tambahan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menampung defisit bajet.
"Kami juga menerima permintaan dana dari negeri lain, tetapi permintaan dari Kelantan dan Terengganu lebih ketara," kata pembantu itu.
Ahli ekonomi Yeah Kim Leng berkata, negeri-negeri yang dipimpin Pas sangat bergantung kepada sumber semula jadi seperti balak dan cukai tanah yang menimbulkan kebimbangan tentang kemampanan dan daya maju ekonomi bagi jangka masa panjang.
"Negeri-negeri ini kebanyakannya beroperasi dengan defisit kewangan berbanding Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang yang mempunyai bajet lebihan," kata Yeah lagi.
Comments