Hujah Nabi tangguh ibadah haji tidak boleh diguna dalam konteks PRK Ayer Kuning
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terus dikecam susulan dakwaan ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning bahawa ibadah haji dan umrah boleh ditangguhkan demi kemenangan politik Islam dan mengaitkan dengan kisah Rasulullah SAW.
Membidas apa yang diperkatakan oleh Ahli Parlimen Marang itu, Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) KEADILAN Malaysia, Amidi Abdul Manan menyifatkan Hj Hadi telah menggunakan hujah tersebut di luar konteks dan menimbulkan kekeliruan.
Hal itu kerana pada waktu itu Mekah dikuasai kaum musyirikin Quraisy dan tidak sama dengan Malaysia hari ini yang diperintah oleh orang Islam.
''Pada beliau jemaah haji Malaysia yang menjadi pengundi di PRK DUN Ayer Kuning wajar menangguhkan pemergian mereka ke tanah suci kerana undian dalam PRK lebih utama dari melaksanakan ibadah haji.
''Benarkah pemikiran yang sedemikian? Pertembungan dalam pilihanraya disamakan dengan perang Rasulullah SAW menentang kafir Quraisy? Atau Haji Hadi sekali lagi mengkafirkan calon UMNO yang bertanding?
''UMNO dan Pakatan Harapan (PH) sendiri tidak pernah memusuhi Islam, malah kedua-duanya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
''Barisan Nasional (BN) dan PH melafazkan sumpah yang sama sama dengan sumpah yang dilafazkan Hj Hadi. Sudah tentu ia lebih teruk dari merapu,'' tempelak beliau menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Amidi turut mengimbas sekali gus menjelaskan sekali lagi tentang perjalanan Rasulullah pada bulan Zulkaedah untuk menunaikan umrah.
''Kita perlu ingat, pada bulan Zulkaedah tahun ke 6 Hijrah, Rasulullah bersama para sahabat telah bertolak ke Mekah untuk menunaikan umrah atau ziarah Baitullah.
''Setelah bergerak beberapa kilometer atau lebih tepatnya di Bir Ali, Baginda dan sahabat mengenakan ihram.
''Haji Hadi terlupa bahawa bulan Zulkaedah merupakan bulan haram berperang dalam budaya masyarakat di Jazirah Arab ketika itu.
''Atas pertimbangan tersebut, Rasulullah memberikan mesej yang jelas kepada para pengintip Quraisy Mekah, bahawa tujuan Baginda ke Mekah bukan hendak berperang tetapi menunaikan ibadah umrah dan ziarah Baitullah,'' jelas beliau.
Oleh itu, Amidi menegaskan bahawa mengatakan Rasulullah mendahulukan kemenangan politik berbanding melaksanakan umrah dan haji adalah dakwaan yang mengelirukan.
Sebab itu katanya, Baginda berihram di Bir Ali dan orang yang berihram dilarang berperang apatah lagi dalam bulan haram.
Beliau menyifatkan, kisah Nabi itu merupakan ketulusan niat dan tujuan Rasulullah keluar dari Madinah jelas dan ikhlas tanpa sebarang perkiraan politik.
''Apabila terdapat halangan untuk meneruskan tujuan asalnya, maka Baginda tiada pilihan selain memetrai perjanjian.
''Jika diteruskan niat asal maka pertempuran akan berlaku, maka Baginda akan dituduh menggunakan agama (berihram) sedangkan tujuan sebenarnya adalah untuk berperang.
''Baginda akan mudah difitnah mengingkari tradisi larangan berperang dalam bulan haram yang menjejaskan nama baik dakwah Islam itu sendiri.
''Jelas jauh sungguh perbezaan perjuangan antara Haji Hadi dan Rasulullah. Baginda tidak mengizinkan sebarang ruang untuk perjuangan murni Islam difitnah dan diburukkan,'' ujarnya lagi.
Oleh itu, Amidi yang juga Timbalan Ketua Cabang Kuala Selangor menyeru agar umat Islam mengikut jalan yang lurus dan mengikut perintah Allah, bukan yang selainnya.
''Maka marilah kita menjadi pentaksub Allah dan pentaksub Rasulullah, jangan kita menjadi pentaksub Haji Hadi,'' katanya lagi.
Terdahulu, Hj Hadi dilaporkan memberi 'isyarat' agar masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Beliau mendakwa, ketetapan tersebut dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
ความคิดเห็น