Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan Malaysia dengan China lebih bersifat sebagai 'sahabat sebenar' berbanding sekadar hubungan perniagaan dan pelaburan.
Perdana Menteri (PM) berkata kepimpinan yang ditunjukkan oleh rakan sejawatannya dari China, Li Qiang menampilkan pendekatan yang mesra, berbudi bahasa dan memahani budaya serta perbezaan, suatu yang tidak digambarkan di tempat lain.
"Saya ingin berkongsi perkara ini dengan peserta di luar isu perniagaan dan perdagangan. Saya menghabiskan sepanjang hari semalam dengan Perdana Menteri Li Qiang dan sekali lagi pagi ini, petang ini menyertai saya untuk makan tengah hari.
"Bertentangan dengan bertubi-tubi soalan dan naratif daripada yang lain. Saya rasa sikap kepimpinan China mesra, berbudi bahasa, penuh hormat menghormati, memahami budaya dan perbezaan, dan bukan ini yang digambarkan di tempat lain," katanya dipetik dalam ucapan pada majlis makan tengah hari komuniti perniagaan Malaysia-China yang turut dihadiri Premier Li Qiang di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pihaknya mengakui terdapat beberapa isu yang menjadi pertikaian tetapi Malaysia dan China berbincang sebagai rakan kongsi yang sama rata dan rakan yang dipercayai.
"...dan saya ingin menggunakan peluang ini untuk meredakan kebimbangan orang lain, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia, bahawa ini adalah tanda, hormat dan persahabatan yang sebenar dan kami akan terus menghargainya," ujar beliau.
Malah kata beliau, pihaknya tidak memandang rendah tentang kepentingan atau meremehkan kepentingan pelaburan perdagangan.
"Saya serahkan kepada rakan sekerja saya dan saya telah melihat rekodnya. Saya telah menyebut tentang penyertaan begitu banyak syarikat - kecerdasan buatan (AI) di Pulau Pinang, Geely dan Proton di Perak, dan mereka di Johor dan Sabah-Sarawak, tidak ada persoalan, dan ia berkembang yang saya mesti mengucapkan terima kasih," katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau berasa gembira apabila pelaburan antara Malaysia dan China telah meningkat, mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada tahun lepas dan tahun ini.
Jelas Anwar keadaan berbeza apabila beliau bertemu dengan rakan di luar negara terutamanya Barat apabila soalan asas yang ditanya ialah sama ada hubungan yang dipertingkatkan, dua hala, komprehensif dan strategik dengan China akan mengorbankan Malaysia sebagai sebuah negara kecil.
"Saya telah memberi jaminan kepada mereka berdasarkan sejarah terdahulu dari zaman maharaja China dan Sultan Melaka. Mereka tidak saling menyakinkan tetapi saya rasa lawatan Perdana Menteri Li Qiang, sahabat saya yang amat saya hormati ini telah membuktikan kes itu.
"Kami mempunyai perbincangan selama beberapa jam. Tidak ada yang kelihatan sombong, merendah-rendahkan atau memberikan tuntutan muktamad," katanya.
Anwar berkata, apa yang mengagumkan ialah perbincangan berkembang melangkaui perdagangan dan pelaburan.
"Orang kata, Malaysia adalah ekonomi yang semakin berkembang. Jangan biarkan China menyalahgunakan, mendapat keistimewaan dan memeras ugut.
"Saya kata tidak. Sebaliknya, kami ingin mendapat manfaat daripada satu sama lain, kami ingin belajar daripada satu sama lain dan kami ingin mendapat keuntungan daripada penglibatan ini, kerana hanya melalui proses ini kami dapat membantu rakyat kami, baik Malaysia mahupun China," jelasnya.
Menurut Anwar, apa yang dibincangkan sebagai rakan rapat adalah apa bentuk sumbangan yang boleh diberikan bagi manfaat bersama.
"Dan sekali lagi, lebih luas dari itu, apa yang dekat di hati saya dan Perdana Menteri Li Qiang tahu dalam perbincangan kami dengan Presiden Xi Jinping merangkumi isu-isu ketamadunan.
"Mereka tahu hakikat bahawa pada 1995 saya menganjurkan persidangan antarabangsa utama ini, Islam dan Konfusianisme, mengajak orang ramai memahami dan menghargai satu sama lain, membuat orang ramai memahami bahawa kita mempunyai perbezaan dari segi kepercayaan dan budaya kita.
"Tetapi marilah kita beretika, merangkumi prinsip etika ekonomi yang berperikemanusiaan. Dan saya gembira kerana Perdana Menteri Li Qiang menyebut perkara ini secara khusus.
"Marilah kita bekerjasama untuk meningkatkan pemahaman kita dan mungkin menyokong keseluruhan idea dialog, dialog bermakna antara Islam dan Konfusianisme," katanya.
Anwar menjelaskan, beliau memilih untuk memperkatakan perkara itu kerana ia sendiri adalah teguran dan sanggahan terhadap propaganda yang tidak putus-putus bahawa Malaysia harus mengeluarkan ekspresi dan takut kepada penguasaan China dari segi ekonomi, ketenteraan dan teknologi.
"Kami di Malaysia yang mempunyai pendirian neutral, mempunyai keazaman untuk bekerjasama dengan semua negara dan dengan China.
"Kami melihat Perdana Menteri Li Qiang, kami melihat anda sebagai rakan yang akan bekerjasama dengan kami, bekerjasama dan membuktikan kepada dunia bahawa perpaduan ini, persahabatan ini, ia sungguh bermakna," katanya.
Kommentare