Kerajaan MADANI komited untuk memupuk hubungan baik antara Malaysia dan China yang menyambut ulang tahun ke-50, hari ini demi kemakmuran rakyat dan rantau ini secara keseluruhannya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri ketika mengimbau peristiwa setengah abad lalu berkata, pada tarikh hari ini, Malaysia dan China membentuk semula landskap geopolitik Asia.
"Pada 31 Mei 1974, kedua-dua negara merintis perjalanan dengan mewujudkan hubungan diplomatik.
"Malaysia berdiri sebagai negara bukan sosialis pertama di Asia Tenggara yang merapatkan jurang ini.
"Walaupun terdapat sebab-sebab yang jelas untuk menahan diri - jurang ideologi kita, perbezaan kita yang kelihatan tidak dapat didamaikan - para pemimpin kita berani berfikir di luar kebiasaan dan mengambil lompatan yang berani," katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar berkata langkah berani ini telah berkembang menjadi perkongsian yang kaya dan membuahkan hasil.
"Kerajaan MADANI komited untuk memupuk hubungan penting ini demi kemakmuran rakyat dan seluruh rantau ini," katanya.
Anwar berkata, beliau teruja untuk menerima lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia bagi meraikan peristiwa bersejarah ini.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang, di Vila 5, Rumah Tamu Negara Diaoyutai, di Beijing.
Pertemuan itu sempena lawatan rasmi beliau yang pertama ke republik berkenaan bermula 22 Mei hingga esok atas jemputan Xuexiang.
Ahmad Zahid merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang tiba pada 10 pagi, mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya itu selama kira-kira sejam.
Semasa ucapan alu-aluan, beliau dan Xuexiang merakamkan penghargaan mengenai hubungan diplomasi yang terjalin antara Malaysia dan China sejak 31 Mei 1974.
Selepas sesi perbincangan itu, Ahmad Zahid menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China, yang dihoskan bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC) dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.
Kehadiran beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, turut diiringi Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.
Comments