Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin hubungan akrab Malaysia dan India yang terjalin sejak sekian lama memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Melalui satu hantaran di laman sosialnya, Perdana Menteri berkata, keakraban hubungan kedua negara terserlah ketika sambutan rasmi lawatan beliau pada Selasa.
"Hakikat itu terpacul ketika penerimaan sambutan secara rasmi dalam penuh suasana persahabatan pagi ini disambut Perdana Menteri India, Narendra Modi di Istana Presiden Rashtrapati Bhavan," katanya.
Anwar dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke India atas jemputan Modi.
Delegasi Perdana Menteri disertai Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Digital, Gobind Singh dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pada lawatan semalam, Anwar dan Modi menyaksikan pertukaran lapan memorandum persefahaman (MoU) di kediaman rasmi Perdana Menteri India, Hyderabad House.
MoU itu merangkumi pelbagai sektor termasuk pengambilan pekerja asing, perubatan tradisional ayurveda, teknologi digital, budaya, pelancongan dan pentadbiran awam.
MoU Pengambilan, Penggajian dan Repatriasi Pekerja, ditandatangani Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, dan Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaishankar.
Pada majlis di Hyderabad House itu, Pengerusi Bersama Forum CEO India-Malaysia, Tan Sri Kuna Sittampalam menyampaikan Laporan Forum CEO India-Malaysia ke-2 kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Perjanjian ini dijangka mengukuhkan lagi perkongsian strategik di antara kedua-dua negara, menggalakkan kerjasama merentasi pelbagai bidang dan mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan dan pembangunan bersama.
*Kredit foto: SADIQ ASYRAF/PMO
Comments