
Pihak berkepentingan seharusnya menghormati rundingan penyelesaian yang dilakukan kerajaan dalam isu pemindahan kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur untuk membina masjid.
Bagi Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) KEADILAN Malaysia, Amidi Abdul Manan, rundingan yang dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pengurusan kuil serta persetujuan pihak kuil untuk berpindah seharusnya dihormati.
Katanya, tidak wajar pengamal undang undang atau masyarakat awam memanaskan isu tersebut.
"Reaksi sekelompok peguam berkaitan pembinaan masjid dan perpindahan kuil ini memang sudah dijangkakan. Ia boleh dilihat dari latar belakang mereka yang mempunyai kepentingan yang tersendiri.
"Tiada apa yang pelik mereka bertindak sedemikian. Langkah DBKL berbincang dengan pemilik kuil juga diperleceh.
"Mereka cuba memberi gambaran seolah-olah pihak wewenang tidak mempedulikan nasib kelompok yang kononnya diperjuangkan oleh mereka.
"DBKL telah berbincang secara saksama bagi menjaga kepentingan pemilik tanah dan kepentingan penganut agama Hindu yang melakukan aktiviti keagamaan di kuil tersebut," katanya dalam kenyataan.
Tegas Amidi, penyelesaian dan persetujuan seperti yang dinyatakan dalam sidang media bersama Datuk Bandar dan pemilik kuil baru baru ini perlu dihormati oleh semua pihak.
Katanya, negara tidak memerlukan pandangan yang boleh menyemarakkan api perkauman apabila persetujuan secara harmoni telah dicapai.
"Perpindahan dan prosesnya telah disepakati dan kita perlu menghormatinya.
"Perbincangan dan rundingan inilah yang menjadi ciri Kerajaan MADANI hari ini. Hasilnya adalah satu pemuafakatan yang mengukuhkan perpaduan dan keutuhan Perlembagaan dapat dipertahankan," katanya lagi.
Untuk rekod, pihak pengurusan kuil telah bersetuju menerima pampasan perpindahan daripada pihak syarikat Jakel yang telah membeli tanah sekitar dan tapak kuil itu sejak 2014.
Urusan yang sedang dilakukan pada waktu ini adalah mendapatkan tapak gantian kuil sebelum pihak pihak berkepentingan campur tangan dalam isu kuil berkenan.
Comments