Keputusan pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap semalam yang mengekalkan calon PN sebagai wakil rakyat di kawasan itu dihormati oleh KEADILAN.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar berkata, kekalahan tersebut akan diambil sebagai pengajaran dan untuk bermuhasabah.
"KEADILAN menghormati keputusan yang dibuat warga Sungai Bakap. Saya ambil kesempatan zahirkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pengundi yang mengambil tanggungjawab mereka yang memilih Harapan
"Tidak dilupakan jentera pasukan Harapan dan BN yang telah bertungkus lumus membantu tanpa lelah sepanjang tempoh kempen
"Kekalahan ini diambil dengan rasa tanggungjawab untuk terus bermuhasabah dan mengingatkan bahawa kita tak boleh terlalu selesa, serta kerja meyakinkan rakyat tidak boleh terhenti," katanya dalam sidang media selepas keputusan rasmi PRK Sungai Bakap malam tadi.
Bagaimanapun bagi Nurul Izzah, taktik berkempen pihak PN yang masih menggunakan isu perkauman dan caci maki amat dikesalkan.
Katanya, corak berkempen seperti itu hanya akan menyebabkan politik Malaysia bergerak ke arah yang tidak sihat, terutama dalam kalangan anak muda.
"Sementara menghormati pilihan rakyat Sungai Bakap, yang mendukacitakan adalah serangan perkauman sempit dan fitnah jahat yang dilempar pihak lawan bagi mempengaruhi sentimen PRK
"Walau bagaimanapun kami berusaha bagi membawa kembali perdebatan dan penerangan. Kita usaha penyelesaian yang tertumpu kepada isu isu pokok; kebajikan rakyat, pendidikan anak anak, pembangunan insfrastruktur serta kelangsungan hidup yang mengimbangkan keperluan emosi, ekonomi sama ada di Seberang (Perai) atau pulau.
"Keputusan ini kami sahut sebagai tekad bermuhasabah. Kami akan terus melakukan perubahan demi masa depan Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik," katanya lagi.
Menjawab pertanyaan media berkenaan langkah selanjutnya, Nurul Izzah berkata, satu bedah siasat akan dilakukan segera untuk mencari punca kekalahan.
"Beri masa kami akan lakukan detail post mortem," katanya lagi.
Comments