Oleh: Abdullah Zaid
Semua pihak tidak seharusnya mencampur adukkan mana-mana tokoh atau agenda politik dalam penyediaan khutbah Jumaat.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin berkata hal itu susulan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Mohd Yadzil Yaakub yang mempertahankan tindakan tidak bertanggungjawab beberapa pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menggunakan gambar pemimpin parti politik pembangkang dalam slaid Khutbah Jumaat baru-baru ini.
"Yadzil sepatutnya faham undang-undang telah menetapkan larangan berpolitik termasuk memaparkan gambar pemimpin parti politik dalam kawasan Masjid.
"Adalah lebih baik slaid khutbah Jumaat diletakkan gambar Yang DiPertuan Agong, Tuan Yang Terutama negeri Melaka atau ulama yang layak, tidak seperti Hadi yang dikatakan umpama ulama "pagi keluar fatwa lain, petang keluar fatwa lain"," katanya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, Mohd Yadzil semalam mempersoal JAIM memecat dan menukar tempat bertugas empat pegawainya susulan isu paparan gambar Presiden Pas, Hj Hadi Awang pada infografik slaid khutbah Jumaat di seluruh Melaka, minggu lalu.
Insiden Khutbah Jumaat bertajuk “Negaraku, Tanah Air Ku”, memaparkan wajah Hj Hadi yang disifatkan sebagai pemimpin yang adil, jujur dan harmoni kepada rakyat.
Kata Yadzil, paparan wajah pemimpin Pas itu dilihat contoh paling sesuai kerana Hj Hadi adalah mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia berbanding Perdana Menteri yang dikatakan mempunyai rekod kononnya dibenci rakyat.
Mengulas lanjut, Razeef berkata, perbandingan itu hanyalah bersifat peribadi, memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiktiraf sebagai pemimpin terkemuka Islam melalui pelbagai sumbangan kepada dunia Islam.
"Perlu diingat Hj Hadi pernah dikecam kesatuan ulama sehingga beliau mengambil keputusan tidak bertanding semula untuk jawatan dalam Kesatuan Ulama Sedunia.
"Ini berbeza dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah diiktiraf antara pemimpin Islam terkemuka dunia sejak tahun 1970-an sehingga ke hari ini," ujarnya.
Jelasnya, sumbangan Anwar Ibrahim bukan sahaja kelantangan beliau menentang kekejaman dan penindasan, bahkan juga termasuk penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Amanah Ikhtiar Malaysia dan banyak lagi.
"Negara juga dihormati kerana kita ada pemimpin seperti Perdana Menteri yang berani berdepan pemimpin kuasa besar dunia menentang penindasan terhadap rakyat Palestin," ujarnya lagi.
Comments