Himpunan Suara Rakyat: Aktivis, reformis berkumpul
- Suara Keadilan
- Sep 21, 2024
- 2 min read

Himpunan Keadilan, Suara Rakyat Suara Keramat di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi mengumpul aktivis rakyat dan para reformis yang berjuang sejak 1998 lalu.
Antara yang ditemui adalah para aktivis terawal yang membentuk Parti Keadilan Nasional (KeADILan) pada 1999 lalu.
Salah seorang daripadanya, Dr Badrulamin Baharon yang merupakan tokoh penceramah terkenal Forum Perdana Ehwal Islam di TV1 pada era 1990an.
Beliau yang merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) ketika itu meninggalkan kerjaya lumayannya untuk berhimpun di jalan jalan utama Kuala Lumpur dan menjadi penceramah popular pembangkang membela nasib Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1999.
"1998 bermula reformasi, dan saya dari UIA terjun ke jalan raya
"Dari UIA ke ISA," katanya ringkas apabila diminta menceritakan perjuangannya oleh Suara Keadilan malam tadi.
Badrol Amin merupakan antara pimpian terawal KeADILan dan beliau kekal sebagai pendakwah bebas sehingga ke hari ini.

Selain itu, seorag pesara guru KAFA dari Puchong, Norimah Sarmin juga menarik perhatian malam tadi apabila beliau datang menggunakan kerusi roda untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri (PMX), dan perubahan yang dibawa setelah dua tahun berkuasa.
"Hari ini saya datang bawa anak anak saya. Dari dulu saya kata negara ini di tangan kamu (anak muda). Ibu dan ayah menuju ke jalan seterusnya, akan pergi (mati).
"Kamu kena kutip di mana perjuangan PMX hari ini. Apa yang diperjuangkan bermula dengan pendidikan sehinggalah kepada (hari ini) ...," katanya.
Beliau berharap generasi muda boleh melihat dengan mata hati yang benar siapakah pejuang Islam yang pedulikan nasib anak bangsa dan siapa yang hanya pandai beretorik.
"Kamu (anak muda) kena gerak. Saya hari ini mungkin tidak boleh berjalan tetapi saya boleh 'berlari' dengan semangat saya. Ini yang saya beri kepada anak muda.
"Kamu semua kena cari yang benar. Cari cerita yang sebenarnya. Tidak susah tetapi bukan mudah. Menelan fitnah itu mudah, jadi pilihan di tangan anda," katanya lagi.
Comments