Oleh: Akmal Manaf
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Haziq Azfar Ishak menyifatkan UMNO lebih matang berpolitik berbanding Pas dalam isu Himpunan Solidariti Najib pagi tadi.
Beliau berpandangan, tindakan Pas tersebut semata mata menunggang isu titah adendum ke atas bekas Perdana Menteri Najib Razak setelah pelbagai isu yang dimainkan sebelum ini gagal menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
"Jadi, ditunggangnya isu Najib untuk cuba nasib menumbangkan kerajaan.
"Kalau benar mahu pengampunan terhadap mantan Presiden UMNO itu, ikutlah prosedur atau aturan yang telah ditetapkan seperti dalam kenyataan Istana Negara, Peguam Negara dan juga yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
UMNO sebelum ini membatalkan himpunan selepas Istana Negara memaklumkan permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menurut Haziq, tindakan UMNO membatalkan himpunan itu menggambarkan parti berkenaan faham bahawa ia tidak akan menyelesaikan masalah atau hasrat yang mahu disampaikan.
Terdahulu, pempengaruh media sosial Norman Radzuan mendakwa, Pas menunggang kes Najib biarpun rakan seperjuangannya Bersatu 'dingin' terhadap himpunan solidariti tersebut.
"Yang menunggang kes Najib adalah Pas bukannya daripada parti Najib sendiri.
"Sedangkan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sendiri sepi untuk menyokong Najib.
"Ada anda lihat Muhyiddin, Hamzah dan Azmin Ali bersuara atau mengajak orang Melayu bersolidariti untuk Najib?
"Seolah-olah keputusan itu bukan keputusan bersama pembangkang. Nampak Pas begitu rakus tanpa peduli Bersatu yang memimpin PN," tulis beliau di Facebooknya.
コメント