Oleh: Abdullah Zaid
Perhimpunan solidariti bersama rakyat Palestin akan diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Kabinet semalam bersetuju untuk mengadakan himpunan pada pukul 8 malam itu sebagai isyarat pendirian teguh Malaysia menyokong kemerdekaan Palestin kepada dunia.
"Semalam Jemaah Menteri bersetuju untuk mengadakan satu Himpunan Solidariti yang diadakan pada 4 Ogos, Ahad ini bertempat di Axiata Arena bermula jam 8 malam.
"Rakyat Malaysia dijemput hadir bersama untuk memberikan solidariti, kita harap ini akan menjadi signal jelas bahawa pendirian rakyat tidak berubah. Kita akan terus bersolidariti bersama rakyat Palestin," katanya pada sidang media selepas pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Himpunan berkenaan menyusul selepas kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dalam serangan rejim Zionis di kediamannya di Tehran, Iran.
Sementara itu, Fahmi juga telah meminta penjelasan daripada pihak Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan ucapan takziah dan kritikan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kematian pejuang kebebasan Palestin itu.
"Kita semestinya kesal tindakan Meta dan saya telah meminta penjelasan Meta kenapa hanya posting dimuat naik rasmi Perdana Menteri yang menjadi sasaran?.
"Kemungkinan ia diturunkan Meta sendiri ataupun aduan orang, buat waktu ini kita belum dapat penjelasan penuh dan menunggu penjelasan Meta," ujarnya.
Semalam, Meta menurunkan hantaran video dan ucapan takziah Perdana Menteri atas pemergian Ismail.
Menyifatkan sebagai bacul, Perdana Menteri mengingatkan pihak Meta agar tidak menjadi bacul dan perkakas kepada rejim Zionis.
תגובות