Tindakan Pas mahu meneruskan himpunan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak pada 6 Januari ini biarpun Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar permohonan membebaskan Najib dipohon ke Lembaga Pengampunan di bawah bidang kuasa baginda, dianggap seolah olah mengenepikan titah Agong.
Bagi Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad, Najib sendiri mungkin berhadapan masalah terutama apabila respons Ketua Penerangan Pas di Facebook menggunakan istilah “ayam betina dan biawak” yang mencetuskan kontroversi sama ada ianya ditujukan kepada UMNO yang membatalkan himpunan solidariti atau pihak pemerintah tertinggi negara.
"Ramai percaya kenyataan tersebut cuba ditujukan kepada individu tertentu yang menjadi punca pembatalan himpunan tersebut. Namun, siapa sebenarnya sasaran sindiran itu masih menjadi tanda tanya.
"Kini, hantaran itu telah menjadi tular dan kecoh. Rakyat Malaysia mula membuat spekulasi bahawa ia mungkin ditujukan kepada UMNO dan lebih serius lagi, kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
"Jika benar Pas cuba mengheret YDPA dalam polemik ini, ia bukan sahaja satu tindakan tidak bertanggungjawab, malah boleh menjadi beban besar kepada Najib dan pasukannya," kata Faezuddin dalam kenyataan hari ini.
Katanya, jika Pas begitu semberono dan menyentuh Agong maka Najib perlu mempertimbangkan sokongan yang ditunjukkan Pas itu.
Selain sejak Najib dibicarakan Pas tidak pernah menunjukkan sokongan, dan hanya mahukan kelebihan politik yang diraih melalui kes rayuan titah adendum Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, penyokong UMNO tentunya tidak lagi akan bersama bekas PM itu jika melibatkan keingkaran kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Jika benar sikap Pas begini, ia boleh memberikan kesan negatif kepada imej Najib yang kini memerlukan sokongan, bukan kontroversi.
"Jika benar Pas cuba tuju kepada YDPA, Najib yang terima sokongan daripada Pas juga akan terpalit sebagai derhaka kepada YDPA dan Raja-Raja Melayu
"Jadi, pasukan Najib harus mempertimbangkan dengan serius untuk menjauhkan diri daripada Pas, tinggalkan Pas sebelum rakyat khususnya penyokong Najib menjauhkan diri daripadanya," katanya lagi.
Tegas Faezuddin, tidak berbaloi Najib mendapat sokongan orang Melayu dan ustaz Pas tetapi menentang pemerintah tertinggi negara dan sebahagian orang Melayu lain yang taat kepada Yang di-Pertuan Agong.
Untuk rekod, pada 23 Ogos 2028 lalu Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersetuju memberi pengurangan hukuman penjara ke atas Najib daripada 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta menjadi penjara enam tahun dan denda sebanyak RM50 juta.
Bagaimanapun timbul isu titah tambahan yang didakwa dibuat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, ketika baginda menjadi Agong sebelum ini.
Beberapa pihak termasuk UMNO dilaporkan bercadang mengadakan himpunan solidariti buat Najib di Putrajaya pada 6 Jan ini sempena rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi terkait titah adendum berkenaan.
Selain UMNO, Pas juga sudah menyatakan solidariti untuk hadir pada hari berkenaan.
Bagaimanapun semalam UMNO membatalkan rancangan tersebut ekoran kenyataan dibuat Istana Negara berhubung permohonan mendapatkan pengampunan atau pengurangan hukuman mana-mana banduan.
Comments