Himpunan Bangkit Ummah yang dianjurkan oleh pembangkang PN pada Jumaat ini dikhuatiri berpotensi memanipulasi isu agama demi kepentingan politik sempit pihak tertentu.
Menurut Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Ustaz Ashraf Ahmad Hadi, himpunan tersebut tidak jelas isu yang diperjuangkan biar pun hak berhimpun dijamin dalam sebuah negara demokrasi.
Katanya, isu kononnya penulisan sebuah buku oleh pemimpin DAP mengandungi unsur mendakyah agama Kristian tidak dibuktikan secara jelas sehingga mahu dibantah secara besar besaran.
"Sebagai umat Islam, kita diajar untuk berdakwah dengan hikmah dan bijaksana, sebagaimana firman Allah SWT: “...Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik...” (Surah An-Nahl, 16:125)
"Sehubungan dengan itu, Islam amat menekankan pendekatan rasional, aman dan inklusif dalam menyampaikan mesejnya," katanya memetik ayat al Quran.
Namun malang, kata ustaz Ashraf, naratif yang ditiupkan oleh penganjuran himpunan seperti itu bukan sahaja gagal menyelesaikan isu sebenar, sebaliknya akan mencemarkan imej Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada semua.
"Hakikat sebenar pada waktu ini, perjuangan Islam seharusnya lebih tertumpu kepada memperkukuhkan umat dengan meningkatkan taraf hidup, membaiki sistem pendidikan, memacu pembangunan ekonomi dan menyatukan masyarakat. Islam juga menyeru untuk kita menggunakan akal dan ilmu sebagai asas tindakan," katanya lagi.
Justeru, katanya, AMK menyeru semua pihak untuk menolak sebarang usaha manipulasi agama demi kepentingan politik yang sempit.
Sebaliknya, AMK menyeru untuk memberi fokus kepada isu-isu yang membawa kebaikan bersama dan memperkukuh keharmonian masyarakat serta keadilan kepada semua, tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
Himpunan Bangkit Ummah dijangka akan diadakan di Masjid Jamek, Kampung Bharu Jumaat ini.
Himpunan itu dikatakan berkisar isu penerbitan buku berjudul ‘Becoming Hannah’ yang ditulis oleh pemimpin DAP, Hannah Yeoh didakwa mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus pada 2014 lalu, meskipun Pas bersama DAP dalam Pakatan Rakyat pada waktu penerbitan itu.
Selain itu, ia juga mahu membantah tindakan Menteri DAP, Nga Kor Ming bersangkutan video klip selamat Hari Krismas dibuat di premis kementerian.
Comments