
Oleh: Akmal Manaf
Pas sekali lagi menjadi bahan kecaman dan dinasihatkan agar 'cermin diri' apabila mahu menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dijadual diadakan di ibu negara esok.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Muhammad Azha Salahudin berkata, umum mengetahui terdapat dua kerusi Parlimen iaitu Kemaman dan Kuala Terangganu dimenangi Pas pada PRU15 lalu, telah dibatalkan oleh mahkamah kerana dibuktikan terdapat unsur rasuah kepada pengundi.
"Kenyataan dikeluarkan Pemuda Pas untuk turut sertai tersebut jelas menunjukkan sikap hipokrit dan munafik pada wajah pemimpin pemuda Pas.
"Jelas terbukti bahawa Pas bukanlah parti yang layak untuk bercakap soal anti rasuah sedangkan Pas sendiri mengamalkan dan menghalalkan perbuatan rasuah dengan mengeluarkan hukum dan fatwa untuk kepentingan kuasa dan kedudukan politik mereka.
"Pemuda Pas dinasihatkan supaya cermin diri dan buktikan bahawa parti itu menolak rasuah dengan membersihkan perasuah yang ada dalam parti berkenaan," katanya yang juga Ketua Penerangan AMK Setiawangsa.
Terdahulu, Pemuda Pas dilapor menyokong dan memberi komitmen penuh terhadap himpunan tersebut.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Nadzir Helmi berkata, perhimpunan itu dilihat sebagai platform penting bagi rakyat menyuarakan pandangan terhadap isu rasuah, selaras dengan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Pas tidak pula menyatakan pendirian mengenai beberapa individu dalam PN yang didakwa terlibat korupsi terutama pemimpin Bersatu.
留言