Oleh: Akmal Manaf
Pemahaman anak muda yang menganggap rasuah perbuatan hina dan menentang pelaku rasuah merupakan sesuatu yang perlu dihargai.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abdul Halim, sikap kritikal yang dizahirkan golongan berkenaan yang ingin berhimpun untuk protes rasuah tidak perlu dipandang serong.
"Kita tidak perlu khuatir dengan suara dan ekspresi anak-anak mahasiswa kita hari ini. Jangan hanya kerana mereka tidak memuji kita, dianggap mereka memusuhi kita.
"Anak-anak muda ini sedang membentuk fikrah dan tekad dalam melawan kebobrokan serta barah rasuah dalam negara... ini adalah suatu yang harus kita pandang tinggi.
"Ini cita-cita yang sama diangkat oleh MADANI. Dalam banyak ucapan, Perdana Menteri (PM) sendiri sentiasa menekankan kemahuan untuk melihat anak-anak muda yang berkobar-kobar dalam menegakkan keadilan serta melawan rasuah.
"Jadi, adalah wajar untuk diberikan ruang kepada anak-anak muda ini dalam menyempurnakan peranan mereka di zaman ini," katanya menerusi satu kenyataan di platform X.
Dalam pada itu, beliau berkata anak muda tidak perlu mempersoalkan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang menyatakan perhimpunan anak muda perlu mengikut peraturan yang digariskan dalam Akta Perhimpunan Aman.
Menurut Adam, Kementerian Dalam Negeri mempunyai kewajipan untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan undang-undang di bawah seliaan mereka sendiri.
Namun kata Menteri Belia dan sukan itu, Kerajaan dan pihak berkuasa semestinya mempunyai budi bicara yang tersendiri.
"Semoga aksi yang direncana berjalan aman, lancar dan terkawal.. sesuai dengan hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman yang dijamin oleh hukum dan Perlembagaan kita," katanya.
Comments