
Kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang menggambarkan orang Melayu akan kehilangan kuasa sebagaimana di Singapuara dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) malam tadi dikecam KEADILAN Kemaman.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, ucapan Hj Hadi itu begitu semberono mentohmah DAP kononnya mempunyai persamaan dengan parti pemerintah Singapura, PAP yang merugikan orang Melayu dan tidak wajar calonnya, Pang Sock Tao diberi undi pada 11 Mei.
"KEADILAN Kemaman mengecam keras isi ucapan presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ceramah PN di PRK Kuala Kubu Bharu semalam sebagaimana disiarkan portal Malaysiakini.
"Hj Hadi mengigatkan supaya para pengundi khususnya orang Melayu jangan kehilangan kuasa politik seperti di Singapura.
"Beliau menambah parti DAP yang berasal daripada parti PAP Singapura bersikap licik dalam menghapuskan kuasa politik orang Melayu seperti yang berlaku di Singapura
"Ini merupakan satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab dan juga bersikap talam dua muka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Nadhir menyifatkan Ahli Parlimen Marang itu sebagai sengaja memburuk burukkan DAP dengan menggunakan naratif yang terpesong.
Katanya, Hj Hadi cuba menimbulkan rasa tidak puas hati orang Melayu di KKB sedangkan dalam masa sama faktanya, kerajaan ditadbir Pas mempunyai hubugan kerjasama ekonomi dengan kerajaan Singapura.
"Bagaimana Presiden Pas boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu sedangkan negeri-negeri di bawah pentadbiran Pas telah pun menjalinkan hubungan kerjasama dengan kerajaan Singapura?
"Kenyataan ini tidak lain hanyalah sebagai modal politik murahan menggunakan sentimen agama dan kaum untuk meraih undi dalam PRK Kuala Kubu Bharu Sabtu ini," sinisnya.
Sehubungan itu, Ahmad Nadhir berharap pengundi di KKB menolak permainan sentimen politik murahan dan kotor tersebut.
Tegas beliau, permainan sentimen politik murahan hanya dapat dinoktahkan dengan memastikan Pas dan PN terus mengalami kekalahan dalam PRK dan siri-siri pilihanraya selepas ini.
Comments