Penganalisis politik yang berteori Tun Mahathir Mohamad mungkin akan sekali lagi menjadi Perdana Menteri (PM) ke 11 mungkin tidak melihat realiti zaman dan senario politik yang telah jauh berubah di Malaysia sejak Pilihan Raya Umum ke 15 lalu.
Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata, teori Mahathir mahu dijadikan oleh pembangkang sebagai PM ke 11 sebaliknya hanya menunjukkan betapa karutnya perjuangan blok itu yang tidak mempunyai calon pemimpin selain seorang tua berumur hampir 100 tahun.
"Kita dikejutkan dengan kenyataan Mahathir akan menjadi PM ke 11.
"Persoalan dia, masih adakah orang yang nak mengangkat Mahathir menjadi PM? Saya tengok makin lama makin banyak orang yang hilang akal dan lupa apa yang berlaku selama ini," kata Lokman dalam siaran langsung Facebook malam tadi.
Tegas Lokman, kepada yang masih mahu memanjangkan hayat politik Mahathir, mereka seharusnya melihat kerosakan yang telah dilakukan oleh Mahathir ketika menjadi PM selama 22 bulan sejak 2018 lalu.
Katanya, pasukan petugas khas yang menyiasat buku bekas Peguam Negara era Mahathir, Tommy Thomas telah mencadangkan sebanyak 17 kesalahan berlaku dalam pemerintahan rejim Mahathir berdasarkan tulisan tersebut.
Lebih menghairankan, kata Lokman, Mahathir yang sibuk mengulas kes Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebas (DNAA) dari 47 pertuduhan, tidak pula mengulas mengenai dapatan pasukan petugas khas tersebut.
Sebaiknya kes Zahid, kata beliau, berdasarkan laporan Timbalan Pendakwaraya (DPP) dan 5 pegawai polis penyiasat (IO) mendapati tiada kes kukuh boleh dihadap ke atas Timbalan Perdana Menteri itu, namun pendakwaan tetap juga dilakukan.
"Ini satu penipuan (kes kukuh). Hakikatnya 7 orang DPP dan 5 orang pasukan IO yang menyiasat kes zahid ini mengesahkan bahawa Datuk Seri Zahid tidak ada kes, tidak ada asas mendakwa beliau dan dicadangkan tidak ada pendakwaan," katanya.
Bagaimanapun, untuk memburukkan imej Zahid, kata Lokman, pendakwaan tetap dilakukan oleh rejim Mahathir.
Comments