Tindakan buli siber meskipun telah agak lama berlaku di negara ini namun hanya menjadi kegemparan umum apabila seorang pempengaruh Rajeswary atau dikenali sebagai Esha di media sosial meninggal dunia didakwa akibat membunuh diri baru baru ini.
Sebelum itu, buli siber tidak dianggap satu jenayah serius berdasarkan hukuman yang diperuntukkan ke atas pelaku yang melemparkan bahasa kesat, lucah dan sebagainya di media sosial.
Bagi salah seorang mangsa buli siber Yuslani Azmi, beliau berkata, undang undang perlu diperketatkan untuk jenayah berkenan sesegera mungkin bagi memberi hukuman setimpal kepada pesalah.
"Masyarakat akhirnya membuka mata betapa seriusnya isu buli siber ini yang boleh membawa maut jika mangsa tidak dapat menanganinya dengan baik.
"Saya juga pernah menjadi mangsa buli siber. Malah saya juga beberapa kali memfailkan kes itu di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut namun sehingga sekarang tiada tindakan daripada pihak yang berkenaan walaupun hantaran di media sosial berkenaan jelas satu fitnah terbuka terhadap diri saya," katanya dalam kenyataan.
Yuslaini berkata, pengalaman beliau menjadi mangsa buli siber sama sebagaimana dialami mangsa lain.
Katanya, beliau pada waktu dibuli tersebut berasa sangat takut untuk berhadapan dengan orang ramai, terutama di media sosial.
"Saya menghadapi serangan panik yang teruk malah terpaksa menutup akaun media sosial Facebook dan Twitter saya kerana trauma akibat difitnah di kedua-dua platform media sosial tersebut.
"Sejujurnya saya sudah keluar masuk hospital beberapa kali dan hampir menempah maut tetapi mungkin saja saya terselamat daripada bunuh diri kerana saya sentiasa cuba menyelamatkan diri saya, tetapi sampai bila untuk bertahan saya tidak begitu pasti," katanya lagi.
Yuslaini berkata, kerajaan sewajarnya mengambil tindakan serius ke atas semua aduan buli siber, bukan ke atas kes Esha sahaja kerana telah tular dan berlaku insiden kematian.
Beliau juga mahu kes buli siber ke atas dirinya diselesaikan dan individu yang terlibat didakwa sebagaimana dalam kes Rajeswary.
Comments