Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kesemua peringkat pendidikan di negara ini mengambil tindakan bagi menghentikan sebarang perbuatan buli di institusi masing-masing.
Perdana Menteri berkata masalah tersebut bukan sahaja dikesan di peringkat pendidikan tinggi malah di sekolah menengah dan rendah.
"Ia (budaya buli) berlaku di sekolah (rendah), di sekolah menengah, sekolah maahad tahfiz, sekolah Cina.. semua (semua peringkat pendidikan).
"Ini perlu dihentikan. Guru besar, pengetua, naib canselor, pengetua kolej juga perlu bertanggungjawab bagaimana untuk menghentikan budaya buruk ini
"Ini kerana terlalu banyak 'complain' (aduan). Ini termasuk yang didapati terbongkar di media sosial tetapi ini harus dihentikan, ini menganiaya anak-anak," katanya dipetik BH Online selepas program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes terbaru seorang pegawai kadet di UPNM dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh seorang penuntut senior, baru-baru ini.
Anwar berkata insiden berkenaaan kini dalam siasatan pihak yang berwajib.
Terdahulu, ketika berucap pada program Temu Anwar, Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan sesekali bertolak ansur dengan budaya buli yang sudah sistematik dalam negara ini termasuk dalam institusi pendidikan.
"Ia kelompok kecil bukan mewakili keseluruhan mahasiswa tapi budaya itu mengizinkan....budaya samseng, buli, gangster dalam sistem pendidikan di sekolah kebangsaan, Cina, Tamil, Maahad Tahfiz dan sekolah agama.
"Ini adalah kegilaan. Kita cakap soal ilmu, kita tidak tahu displin itu mendidik manusia. Darjat kemanusiaan dan ilmu itu penting kepada penghayatan," jelasnya.
Anwar berkata pihak pengurusan universiti termasuk naib canselor dan para pensyarah perlu memberikan penekanan terhadap usaha untuk menyelesaikan masalah buli.
Beliau juga menolak untuk bertolak ansur dengan budaya buli tersebut.
"Ini cabaran bagi setiap pimpinan naib canselor, profesor dan pensyarah termasuk saya dan menteri. Jadi program pendidikan dan nilai mesti ditekankan.
"Ini kerana (ketika ini) kita ambil sikap permisif, mengalah dan bertolak ansur terhadap pembuli. Ia tidak boleh berlaku kalau budaya menolaknya.
"Saya beri tahu kepada menteri pendidikan, jangan tolak ansur. (Saya) Bagi amaran dan nasihat jangan tolak ansur sama sekali kerana tak nak berlaku secara terpisah kerana berlaku dalam budaya," katanya.
Comentarios