Tindakan Kerajaan Perpaduan menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan disokong banyak pihak.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Chua Wei Kiat, sejak memerintah pada November 2022 Kerajaan Madani telah membelanjakan sekitar RM350 juta untuk mensubsidi bayaran tol kepada rakyat yang ingin pulang ke kampung pada setiap kali perayaan utama pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, tibalah masanya kerajaan menggunakan dana sebesar itu untuk tujuan yang lebih mendatangkan manfaat kepada masyarakat.
"Saya memuji keputusan Kerajaan menghentikan tol percuma pada musim perayaan. Langkah ini adalah satu keputusan yang bijak dan bertanggungjawab kerana ia memastikan wang rakyat digunakan dengan lebih berkesan, daripada pembaziran yang tidak mendatangkan manfaat jangka panjang.
"Untuk rekod, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM200 juta pada tahun 2023 dan RM150 juta pada tahun 2024 untuk tol percuma. Jumlah ini merupakan angka yang besar dan sepatutnya digunakan untuk manfaat jangka panjang
"Oleh itu, saya menggesa Kerajaan agar menyalurkan penjimatan ini kepada inisiatif yang lebih bersasar, terutamanya dalam sektor pengangkutan awam yang masih memerlukan penambahbaikan," kata Wei Kiat dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, sekiranya kerajaan ingin juga membantu rakyat pulang ke kampung maka kaedah lebih sesuai adalah dengan memberi tiket bas ekspres atau tiket keretapi percuma yang sesuai dengan tumpuan pengangkutan golongan menengah dan bawahan.
"Langkah ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan terutamanya golongan M40 dan B40, tetapi juga menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam sebagai pilihan utama.
"Dengan lebih ramai rakyat beralih kepada pengangkutan awam, kesesakan jalan raya serta kadar kemalangan yang sering meningkat ketika musim perayaan dapat dikurangkan," katanya.
Namun begitu, Ahli Dewan Negeri Rawang itu berharap Kerajaan akan memperbaiki terlebih dahulu perkhidmatan pengangkutan awam agar menjadi lebih cekap, selesa, dan mampu milik dengan wang subsidi yang dijimatkan.
Hal itu, katanya, boleh dicapai dengan cara ditingkatkan kekerapan perjalanan, penambahan laluan baharu yang menghubungkan lebih banyak kawasan luar bandar ke bandar, serta memperluaskan skim subsidi tambang bersasar kepada golongan yang memerlukan.
Tegas beliau, keputusan untuk menghentikan tol percuma harus dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam dasar pengangkutan negara.
"Subsidi bersasar (tiket percuma pengangkutan awam) seperti ini lebih memberi impak jangka panjang berbanding pemberian tol percuma yang hanya memberi manfaat sementara, “bagaikan embun di hujung rumput”.
"Saya percaya bahawa dengan perancangan yang teliti dan dasar yang berpandangan jauh, sistem pengangkutan awam negara dapat dipertingkatkan menjadi lebih moden, cekap, dan mesra rakyat," katanya lagi.
Semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan dan hal itu sudah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma dengan pendekatan yang lebih bersasar.
Sebelum ini kerajaan memaklumkan syarikat konsesi tidak menanggung sebarang implikasi kewangan berikutan pengecualian tol pada musim perayaan kerana kos tersebut dibayar oleh kerajaan.
Comments