Helikopter pasukan keselamatan: Guna sistem pajak menjimatkan - PM
- Suara Keadilan
- Nov 28, 2024
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan menggunakan sistem pajakan dalam perolehan helikopter untuk kegunaan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan kerana cara tersebut lebih telus.
Selain itu, beliau menyifatkan kaedah berkenaan juga adalah bertujuan untuk mengelakkan beban kewangan kepada negara.
"Kita mahu supaya rundingan itu rundingan yang agak telus melibatkan kerajaan dengan kerajaan dan tidak melalui mana-mana ejen.
"Dalam bentuk pajakan ini, ia akan mengelakkan beban daripada segi penyelenggaraan yang menjadi masalah besar ketika ini.
"Bilion ringgit (satu tahun) untuk keperluan bahan penyelenggaraan dan kerosakan-kerosakan semula jadi," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin tahu mengapa kontrak sewaan pesawat helikopter untuk ATM yang dilaksanakan secara pajakan tidak ditawarkan secara tender terbuka antarabangsa atau kerajaan kepada kerajaan (G to G).
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menyatakan beliau bersetuju meneruskan keputusan pajakan disebabkan faktor penjimatan dan ketelusan, namun kaedah itu diperluaskan.
"Tetapi ia tidak rundingan secara terus kerana kita buat menggunakan kaedah Request for Proposal (RFP) di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) yang kemudiannya diselaraskan dengan meminta semua syarikat yang mempunyai keupayaan, memenuhi (kriteria) dan mampu dari segi kewangan," ujarnya.
*Kredit foto: Jabatan Penerangan Malaysia
Comments