Oleh: Ande Lai
ULASAN: Erti kemerdekaan merupakan suatu simbol atau nilai unik yang memberi makna besar kepada setiap anak bangsa yang memahami perjuangan, jerih perit pejuang-pejuang kemerdekaan dalam menggalas usaha gigih meleraikan negara daripada ancaman penjajah dan aspirasi mereka berusaha membina negara bangsa daripada perjuangan darah dan air mata para pahlawan kita.
Dalam konteks Malaysia MADANI, makna kemerdekaan itu sendiri bukan diukur daripada bagaimana kita meraikannya tetapi penghayatan bagaimana rakyat negara ini dalam menilai sejauh manakah kita berjuang demi kebebasan yang kita nikmati untuk kita sandarkan kepada pembinaan negara bangsa yang ampuh dan terus berkesinambungan untuk digalas oleh generasi akan datang.
Sambutan tahun ini, khususnya menerusi tema “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” amat bertepatan dengan pembinaan bangsa bermaruah sesuai dengan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disampaikan menerusi amanat beliau petang semalam.
Walaupun tidak semua rakyat mampu hadir di PICC, tetapi semangat kemerdekaan ini boleh dijelmakan menerusi platform media digital dengan menzahirkan cebisan lintasan sejarah kemerdekaan negara, pengorbanan pejuang bangsa seperti Tok Janggut atau Leftenan Adnan melawan penjajah mahupun musuh yang tidak kelihatan hari ini.
Ini yang menjadi asas penghayatan terutama generasi muda bagaimana Malaysia MADANI boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian menelusuri pelbagai cabaran mendatang.
Hargai nilai kemerdekaan negara
Dapat diperhatikan, sifat patriotik pahlawan negara berjuang untuk rakyat dan negara ini boleh diterjemahkan kepada pengkisahan yang boleh dihayati oleh setiap anak bangsa dalam apa juga bentuk penyampaian menerusi platform media sosial kegemaran anak muda seperti TikTok dan sebagainya.
Nota perjuangan inilah yang dapat generasi senior terapkan kepada generasi muda hari ini dan masa depan dalam membina semangat patriotik mereka, menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan negara dalam keadaan sukar dan genting hari ini; menjadi suatu petunjuk bagaimana rakyat kita sanggup berkorban untuk mempertahankan negara dalam kemelut politik, ekonomi dan sosial yang kita hadapi hari ini.
Bersempena dengan tema hari kemerdekaan kita pada tahun ini, iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, kita seharusnya menjadikan Malaysia sebagai tanah air yang selamat untuk dihuni oleh setiap warganya, sama-sama mempertahankan keamanan negara menerusi perpaduan sejati dalam kalangan masyarakat majmuk, sanggup "berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah" antara semua kaum di negara ini bagi menjalinkan aspirasi masyarakat Madani yang menjadi impian kita.
Jangan leka anasir pemecah perpaduan
Masyarakat arus mengamalkan sikap tabayyun (selidik kesahihan) apabila berdepan dengan penularan maklumat di media sosial yang ‘mengganas’ pada masa sekarang supaya masyarakat tidak terleka dengan anasir jahat pihak-pihak yang sengaja meniupkan kebencian dan kepincangan negara dengan merosakkan nilai perpaduan masyarakat di negara ini.
Justeru, adalah wajar bagi semua pihak dapat meluruskan niat dan memasang perancangan ampuh bagi mengekang penularan berita palsu dan tidak benar yang dihidangkan kepada anak muda bagi memastikan minda mereka sentiasa bersedia menyelidik, mentafsir dan melakukan tindakan yang betul bagi memupuk semangat perpaduan dan cintakan tanah air berbanding spekulasi atau khabar angin yang merosakkan minda mereka dalam jangka masa panjang.
Tiada guna Perdana Menteri berulang kali mengingatkan generasi muda supaya lebih matang dalam menilai setiap maklumat yang diterima apabila tiada bimbingan tuntas daripada yang senior dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara.
Kini masanya untuk semua menghayati dan melaksanakan tema yang dipilih bagi meneruskan agenda memperkasakan kembali negara yang ‘hilang’ hampir suku abad lalu.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju dan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur
Comments