Jenayah siber yang berleluasa menjadi perhatian Yang di-Pertuan Agong dalam titah perasmian mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-15, hari ini.
Menurut Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kemajuan teknologi digital yang menjana ekonomi negara juga membawa sisi tidak baik seperti jenayah siber, terutama kepada pengguna media sosial.
"Suka saya ingatkan kepada masyarakat supaya sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa jenayah siber, seperti penipuan kewangan dalam talian atau “scammer” dan pencurian identiti," titah baginda yang disiarkan secara langsung oleh stesen penyiar utama negara pagi tadi.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menegur kalangan rakyat yang menggunakan media sosial secara yang tidak produktif dan malah merugikan pihak lain seperti mentohmah atau memfitnah.
"Saya juga merasa bimbang, dengan budaya fitnah dan hasutan di dalam talian dan media sosial yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah-belah.
"Oleh itu kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya ini, dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul dan dipercayai," titahnya lagi.
Comments