Melalui sokongan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, projek membaik pulih Balai Polis Beserah, Kuantan, Pahang berjaya disiapkan dalam tempoh dua bulan sejak Oktober lepas.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi (gambar, kanan sekali) berkata projek tersebut bukan sahaja memperbaharui kemudahan di balai malah turut meningkatkan keselesaan dan kualiti perkhidmatan anggota pasukan keselamatan itu.
"Alhamdulillah, selepas kunjungan saya ke Balai Polis Beserah, Kuantan pada Jun 2024 dan beberapa siri perbincangan telah diadakan, kerja baik pulih dan penaiktarafan Balai Polis Beserah akhirnya dimulakan pada Oktober lalu.
"Dengan sokongan penuh daripada YAB Perdana Menteri, projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh hanya dua bulan, seperti yang dijadualkan," katanya dalam hantaran di Facebook.
Ahmad Farhan berkata usaha membaik pulih itu penting untuk memastikan para anggota polis dapat menjalankan tugas dengan lebih efisien, dedikasi dan dalam persekitaran lebih kondusif.
"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini. Semoga dengan peningkatan ini, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat akan terus terjamin," ujarnya.
Comments