Wilayah Persekutuan memerlukan satu keistimewaan selain daripada pemodenannya dengan menjadi bandar raya yang perlu dipenuhi dengan semangat kekeluargaan dan perpaduan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam perutusan sempena sambutan Hari Wilayah esok berkata wilayah tersebut bukan sekadar menjadi tempat tinggal, sebaliknya tempat untuk membina impian dalam sebuah keluarga yang besar.
"Apa yang membuatkan Wilayah Persekutuan ini istimewa, bukan sekadar kemodenannya, tetapi semangat perpaduan dan nilai kekeluargaan yang kita sematkan di setiap sudutnya.
Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, setiap wilayah ini mempunyai cerita yang tersendiri. Kuala Lumpur, jantung ekonomi negara yang berdenyut dengan kehidupan.
"Labuan, permata di perairan yang menjadi pintu kepada peluang antarabangsa. Putrajaya, pusat pentadbiran negara, lambang kesungguhan dan harapan masa depan. Tetapi, di sebalik bangunan tinggi dan jalan yang sibuk, kita semua adalah jiwa-jiwa yang saling menyokong, saling membantu dan saling menjaga," katanya.
Zaliha berkata sebuah kota besar juga tidak memberikan makna jika penghuninya tidak berpegang kepada nilai kemanusiaan dan kasih sayang.
"Hari ini, saya ingin mengajak kita semua untuk melangkah ke hadapan dengan hati yang terbuka. Bersama kita bawa kebaikan dan semangat baru kepada semua penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
"Mari kita buktikan bahawa kemajuan bukan hanya tentang bangunan yang megah, tetapi tentang nilai-nilai yang kita pegang erat. Kita jaga tradisi, kita pelihara budaya, kita semai perpaduan, di mana pun kita berada, kita adalah warga yang punya tanggungjawab bersama untuk memastikan wilayah ini terus makmur, aman dan sejahtera," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan warga ibu kota, Putrajaya dan Labuan bahawa setiap usaha kecil mereka memberikan impak kepada kemajuan Wilayah Persekutuan.
"Percayalah, setiap usaha kecil itu memberi impak besar. Senyuman yang kita berikan, sampah yang kita kutip, jiran yang kita tegur, semuanya menyumbang kepada membentuk komuniti yang lebih baik. Wilayah Persekutuan ini adalah rumah kita dan rumah yang bahagia terhasil daripada cinta, hormat dan rasa tanggungjawab bersama," ujar beliau.
Comments