Hari Malaysia ke-61 yang disambut pada 16 September ini akan lebih bermakna sekiranya infrastruktur jalan raya di Sarawak dinaiktaraf dan ditambah jaringannya ke kawasan pedalaman.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, pembinaan jalan raya secara besar besaran terutama yang menghubungkan ke ibu negara Indonesia, Nusantara boleh menjadi katalis kepada kemajuan terutama di daerah sempadan Sarawak.
"Sempena Hari Malaysia ini KEADILAN Sarawak ingin melihat infrastruktur jalan raya dijadikan keutamaan pembangunan di Sarawak
"Rancangan pembinaan lebuh raya di sepanjang sempadan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia perlu disegerakan.
"Ini akan membolehkan jalan raya tersebut menjadi pemangkin kepada pembangunan jalan jalan yang menghubungkan kampung-kampung pedalaman dengan kawasan bandar utama seperti di Lawas, Limbang, Miri, Bintulu, Sibu dan Kuching," katanya dalam kenyataan.
Menurut Roland lagi, kebanyakan jalan di Sarawak adalah jalan tanah merah atau balak yang menghubungkan kampung kampung di pedalaman.
Jalan seperti itu, katanya, digelar "jalan mati" kerana tidak mungkin ekonomi penduduk boleh ditingkatkan melalui penjualan hasil pertanian atau memajukan sektor pelancongan dengan jalan yang rosak serta mengambil masa lama untuk ke bandar berhampiran.
"Dengan rangkaian jalan raya baik dan yang menyeluruh maka industri pelancongan berasaskan warisan alam semula jadi yang terpelihara dengan baik di kawasan pedalaman Sarawak akan mudah dibangunkan.
"Sektor pertanian juga boleh diperkasakan dengan mudah melibatkan golongan petani pedalaman Sarawak dengan infrastruktur jalan raya itu," katanya.
Hubungan jalan raya yang baik juga, kata Roland, akan memastikan golongan muda mudah pendapat pekerjaan dengan dibukanya kawasan perindustrian di kawasan berhampiran kampung dan mengurangkan penghijrahan golongan itu ke bandar utama atau ke Semenanjung Malaysia.
Commentaires