Jumlah tempat duduk awam bertingkat di Dataran Putrajaya diperbanyakkan bagi menampung lebih ramai pengunjung pada sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kemudahan itu bagi memastikan semua pengunjung yang dianggar mencecah 200,000 orang itu dapat merasai kemeriahan sambutan kemerdekaan negara itu nanti.
"Secara umumnya kita akan gandakan jumlahnya berbanding tahun lepas," katanya dipetik selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi bagi Sambutan HKHM 2024.
Beliau berkata bagi memudahkan dan menambah keselesaan pengunjung pada sambutan nanti, sebanyak 14 skrin LED bersaiz gergasi turut ditempatkan di beberapa tempat di sepanjang jalan menghala ke arah Dataran Putrajaya.
Pada sambutan Hari Kebangsaan 2023, lebih 100,000 pengunjung hadir menyaksikan kemeriahan sambutan itu yang merupakan anjuran sulung Kerajaan Perpaduan.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata perkhidmatan ‘teksi air’ turut disediakan oleh Perbadanan Putrajaya (PPJ) untuk memudahkan pergerakan pengunjung dari kawasan tempat letak kereta ke Dataran Putrajaya.
"Saya difahamkan ada beberapa laluan akan ditutup pada 31 Ogos ini untuk pastikan pengunjung dapat menikmati suasana sambutan Hari Kebangsaan dengan selesa. Jadi, kita sediakan beberapa kemudahan pengangkutan awam termasuk ‘teksi air’.
"Ada sekurang-kurangnya empat lokasi boleh naik dan bawa kita ke lokasi berdekatan dengan kawasan perbarisan serta perarakan," katanya.
“Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” dipilih sebagai tema sambutan HKHM tahun ini.
Comments