Hari Gawai yang disambut sebagai perayaan kesyukuran atas hasil tuaian pada era baharu ini perlu merangkumi pencapaian dalam segala bidang kehidupan.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, pada Hari Gawai ini rakyat Sarawak seharusnya mensyukuri pencapaian mereka dalam bidang pendidikan, teknologi, pekerjaan, perniagaan, seni, hiburan, keagamaan, pembangunan keluarga, politik, kerajaan, kesihatan, hak asasi, alam sekitar dan lain lain.
Begitu juga, katanya, dalam masyarakat majmuk Malaysia, perayaan Gawai tidak lagi dirayakan oleh masyarakat Dayak semata mata. Selain perkahwinan campur, masyarakat Dayak juga diwarnai pelbagai agama seperti Kristian, Islam dan sebahagiannya tidak beragama.
"Ini sedikit sebanyak mencorakkan lagi perayaan Gawai mengikut pegangan agama masing-masing tanpa mengabaikan adat Dayak yang berpaksi pada nilai dan semangat kesyukuran kepada Tuhan, berkongsi menikmati sebahagian hasil tuaian.
"KEADILAN Sarawak mengucapkan Selamat Menyambut Hari Gawai kepada semua rakyat yang merayakan Gawai, khususnya di Sarawak," katanya dalam kenyataan.
Manakala bagi KEADILAN pula, kata Roland, perayaan Gawai merupakan manifestasi kesyukuran atas pencapaian parti dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Sarawak.
Katanya, jelas semua lapisan masyarakat turut merayakan dan menghayati Hari Gawai setiap tahun dan bermakna nilai dan semangat Gawai itu turut dikongsi oleh semua.
"Oleh itu KEADILAN Sarawak berpendapat tiba masanya pencapaian masyarakat mulai diukur melalui sokongan dan sumbangan terhadap keamanan, pembangunan dan kegiatan menjulang nama baik negara.
"Setiap lapisan masyarakat harus memperingatkan ahli masyarakat untuk mengamalkan sikap percaya diri, saling percaya sesama komuniti, bersaing secara sihat untuk menyuburkan kreativiti dan inovasi, saling hormat-menghormati serta bekerjasama membina negara tercinta dalam kapasiti masing-masing," katanya.
Selain itu, beliau juga menyeru agar anak muda Sarawak belajar daripada golongan berpengalaman tentang maksud "Nguan Menoa" sebagai akhir kata dalam setiap ucapan Selamat Hari Gawai.
"Sedikit pencerahan daripada mereka yang lebih berpengalaman ialah "Nguan Menoa" merupakan kata-kata doa dan semangat agar rakyat Sarawak kekal menjaga, membela dan membangun (nguan dalam bahasa Iban) tanah air (menoa dalam Bahasa Iban) Sarawak.
"Rakyat Sarawak diperingatkan pada setiap perayaan Gawai bahawa rakyat ialah tuan atas tanah air Sarawak.
"Bukankah doa dan semangat Gawai ini harus dijadikan doa dan semangat perjuangan setiap rakyat Sarawak," katanya.
Justeru, Roland berharap rakyat Sarawak pelbagai bangsa bersama-sama bersatu untuk menjaga, membela dan membangun negeri.
Perpaduan, katanya membolehkan rakyat bergerak ke depan melangkaui keterbatasan dan muncul sebagai juara sejati perjuangan bangsa yang rencam Sarawak.
コメント