Layanan buruk kepada agama Islam dan penganutnya seharusnya dihentikan terutama dalam kalangan negara dan masyarakat Barat.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata demikian sempena Memperingati Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia 15 Mac 2024.
Menurut Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin, badan Islam terbesar di Malaysia itu bersolidariti dengan masyarakat Islam di seluruh dunia dalam memerangi arus Islamofobia selain menggalakkan toleransi, persefahaman dan rasa hormat terhadap semua individu tanpa mengira fahaman.
"Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia berfungsi sebagai peringatan kritikal tentang cabaran berterusan yang dihadapi oleh umat Islam di seluruh dunia akibat prasangka, diskriminasi dan kebencian.
"Ia adalah hari untuk menzahirkan komitmen kami bagi memupuk keterangkuman dan memerangi ketaksuban dalam semua bentuk.
"Islamofobia bukan sahaja melemahkan prinsip asas kesaksamaan dan hak asasi manusia tetapi juga menimbulkan ancaman kepada perpaduan dan keharmonian sosial dalam masyarakat.
"Kegagalan untuk mengawal fenomena ini mungkin boleh membawa kepada keganasan dan peminggiran terhadap masyarakat Islam," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ahmad Fahmi, dalam banyak kes atau kejadian Islamophobia selalunya berpunca daripada salah tanggapan, stereotaip, atau maklumat yang salah tentang Islam serta penganutnya.
Oleh itu, kata beliau, menangani salah faham melalui pendidikan, dialog, dan inisiatif antara orang awam dan pihak berkuasa adalah penting untuk menggalakkan persefahaman, toleransi dan kewujudan bersama secara aman dalam kalangan berbeza agama.
"Sebagai rakyat Malaysia, ABIM percaya kepelbagaian adalah kekuatan kita, dan ABIM komited untuk mempromosikan budaya hormat-menghormati serta keterangkuman walaupun berbeza kepercayaan, kaum dan pendapat.
"Kami menyedari kepentingan memerangi Islamofobia melalui pendidikan, usaha advokasi dan mewujudkan kesedaran di semua peringkat sama ada sekolah, universiti atau awam yang mencabar stereotaip dan menggalakkan dialog di kalangan orang yang berbeza latar belakang.
"Kita berasa amat kesal kerana kecurigaan, diskriminasi dan kebencian secara terang-terangan terhadap umat Islam telah meningkat sehingga menjadi “wabak” tahun demi tahun seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya lagi.
Sebagai agama keamanan, kata Ahmad Fahmi, Islam menggalakkan penerimaan dan penghargaan terhadap kepelbagaian.
Oleh itu, katanya, ABIM menyeru kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, pemimpin agama dan individu di seluruh dunia untuk mengambil dan mengetuai semua tindakan yang mungkin untuk memerangi Islamofobia sekali gus menggalakkan pemahaman agama dengan menegakkan prinsip keadilan, kesaksamaan dan tanpa diskriminasi untuk semua seperti yang dipandu dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengetahui.”
Comments