
Golongan peniaga diharap mematuhi syarat-syarat ditetapkan dibawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan SHMMP oleh Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) merupakan langkah intervensi Kerajaan menghalang pergerakan harga tidak terkawal di musim perayaan.
"SHMMP ini seperti sedia maklum, kita meletakkan harga maksimum untuk harga borong, harga runcit dan harga ladang. Pemeriksaan di pasar raya ini, hari ini, kita lihat mereka patuh dengan harga tersebut malahan mereka meletakkan harga yang lebih rendah.
"Langkah ini adalah langkah berterusan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan kita berharap agar pematuhan terhadap syarat-syarat ini ketika musim perayaan terutamanya bagi kawalan harga barang dan pelaporan ini penting jika ada isu-isu tertentu, sebagai contoh ada kes menyembunyikan bekalan ataupun tidak terdapat bekalan di mana-mana," katanya dipetik.
Amirudin berkata begitu selepas menyertai pemeriksaan pematuhan penguatkuasaan pelaksanaan SHMMP bersama KPDN Selangor sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 yang berkuat kuasa selama sembilan sehingga 2 Februari di sebuah pasar raya di Kota Damansara.
Turut hadir pada pemeriksaan pematuhan itu ialah Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Mohd Khairi Jamaludin.
Sementara itu Amirudin berkata, skim SHMMP juga telah memperluas manfaat kepada rakyat Selangor melalui penglibatan inisiatif Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).
"Lebih 1,600 jualan telah dilaksanakan pada tahun 2024 dan sebahagian daripada jualan-jualan tersebut merupakan kerjasama pula dengan JER (Jualan Ehsan Rakyat) yang dijalankan di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS)
"PKPS adalah rakan strategik (KPDN) dan insya-Allah tahun ini menurut KPDN, jualan akan mencecah 2,000 berdasarkan lokasi, ada yang statik dan ada yang bergerak," katanya.
Dalam pada itu, KPDN Selangor dalam kenyataan susulan berkata, pihaknya konsisten melaksanakan pemeriksaan pematuhan sepanjang skim berkuatkuasa.
Comments