Pelarasan harga Beras Putih Import (BPI) akan dilaksanakan berkuat kuasa esok dengan harga runcit diturunkan antara RM2 hingga RM3 bagi meningkatkan akses rakyat kepada bekalan makanan ruji itu, demikian menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini.
"Pelbagai langkah intervensi dilaksanakan oleh kementerian bagi menangani isu kekurangan Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran susulan pelarasan harga BPI oleh Beraspadi Nasionao (BERNAS) pada 1 September lepas.
"Bagi meningkatkan akses rakyat kepada bekalan beras pada harga yang munasabah, kerajaan melalui NACCOL bersetuju supaya penurunan harga jualan runcit BPI di antara RM2 hingga RM3 di pasaran dilaksanakan berkuat kuasa pada Rabu, 20 Mac 2024," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad berkata kerajaan optimis inisiatif ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutamanya semasa Ramadan dan hari raya.
Dalam pada itu, katanya bagi meningkatkan pengedaran BPT di pasaran, kerajaan memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta.
Justeru itu, ujar beliau kementeriannya akan meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di seluruh negara.
Dalam meluaskan jaringan pengedaran BPT, aktiviti Jualan Agro MADANI oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan diperluaskan dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program.
Jelas beliau kerajaan turut bersetuju agar semua kontrak Kerajaan mengguna pakai sepenuhnya lBPI.
Sehubungan itu, kata Mohamad melalui kaedah ini, bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April ini.
Kesemua langkah ini akan dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat melalui jualan BPI pada harga yang lebih rendah serta pertambahan BPT di pasaran, ujarnya.
"KPKM juga akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik untuk memastikan industri padi dan beras adalah mampan terutamanya dalam menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negara.
"Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara," ujarnya.
Comments