Tuduhan yang dilemparkan anggota Pas dalam ceramah Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri, kononnya DAP kafir harbi dan pemimpin UMNO bersekongkol dengan parti itu membantu puak kafir menguasai negara adalah mengarut sama sekali.
Bagi Pengarah Zon Timur Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Ustaz Mohammad Ali Muda, kafir harbi sama sekali tidak boleh dilabelkan ke atas bukan muslim di Malaysia.
Katanya, bukan muslim dalam konsep negara moden bukanlah kafir harbi sebaik sahaja mereka menerima Perlembagaan negara dan tunduk kepada undang undang.
Katanya, melabelkan seseorang kafir harbi amat merbahaya kerana orang Islam dibenarkana membunuh atau merampas harta benda mereka.
"Kafir harbi itu apa? Iaitu orang kafir yang membunuh dan memusuhi orang Islam, maka orang Islam boleh menghalalkan darahnya, merampas hartanya.
"Ini bukan main main, walaupun bukan Islam, kita tidak sewenang wenang menghalakan darah dia. Bila meletakkan kafir harbi maka halal darah. Mungkin satu hari ada pengikut yang ekstrem, maka kafir harbi kita boleh bunuh," katanya dalam siaran media.
Tegas Ali Muda, kafir harbi yang bertepatan secara istilah dan hukumnya pada waktu ini hanya boleh dilabelkan kepada puak Zionis Israel yang membunuh orang Islam.
"Kalau ada pun hari ini kafir seperti Israel yang menceroboh negara Palestin. Itu kafir harbi. Para ulama sudah lama membahaskan perkara ini. Kalau nak guna istilah zaman lama, maka kafir zimmi (bukan Islam di Malaysia), iaitu warganegara yang dilindungi undang undang," katanya.
Sedangkan, kata Ali Muda, DAP merupakan parti politik biasa di Malaysia sebagaimana Pas dan boleh disertai oleh sesiapa sahaja termasuk orang Islam.
Oleh itu, bagi Ali Muda dalam hal menyekat fahaman melampau Pas ini, maka orang Islam Malaysia diharuskan mengundi UMNO atau mana mana parti yang tidak melampau fikrahnya.
"DAP parti berdaftar seperti Pas. Ahli DAP pelbagai agama kaum. Tidak ada parti harbi di Malaysia ini.
"Saya katakan harus menyokong UMNO demi menyelamatkan negara dari fahaman ekstrem, faham khawarij," katanya lagi.
Comments