Pembangkang PN seharusnya mengemukakan dokumen belanjawan alternatif mereka sendiri sekiranya berterusan mengkritik Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Kerajaan Madani pada 18 Oktober lalu.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan berkata, amat mengecewakan pembangkang yang mempersenda pemimpin kerajaan dalam perbahasan Belanjawan 2025 sejak beberapa hari lalu tidak mampu mengemukakan perancangan yang lebih baik.
"Mengecewakan apabila pihak pembangkang masih gagal untuk mengemukakan belanjawan alternatif atau sebarang cadangan solusi yang lebih baik dan menyeluruh untuk kepentingan rakyat.
"Kegagalan mereka bukan sahaja memperlihatkan kelemahan dalam memahami permasalahan negara, malah turut disertai dengan prestasi kehadiran yang bermasalah dalam sidang Parlimen.
"Ketidakhadiran mereka dalam sidang-sidang penting memperlihatkan sikap tidak serius dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat," kata Ammar dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional berkata, terdapat perbandingan nyata berkenaan prestasi pembangkang pada waktu ini berbanding Pakatan Harapan (PH) ketika berada di posisi sama yang setiap tahun mengemukakan belanjawan atau cadangan alternatif untuk dinilai rakyat.
"Perbezaan ketara apabila membandingkan keadaan semasa dengan ketika PH berperanan sebagai pembangkang dahulu.
"Pakatan Harapan tidak hanya memberi kritikan tetapi turut menawarkan polisi-polisi yang jelas dan cadangan alternatif yang konkrit, bersedia untuk memimpin (negara) bila-bila masa sekiranya diberi mandat," ujarnya.
Justeru Ammar berharap pihak pembangkang lebih bertanggungjawab dalam menjalankan peranan mereka.
Kehadiran yang lemah dan sekadar berteriak tanpa cadangan konkrit, katanya, tidak membawa manfaat kepada rakyat.
"Mereka perlu tampil dengan solusi yang lebih baik dan relevan demi memajukan negara. Setakat ini, apa yang kita saksikan hanyalah kegagalan demi kegagalan mereka untuk menawarkan alternatif yang lebih baik," kata Ammar lagi.
Comentarios