Hanya 1 peratus warga China diberi status kerakyatan Malaysia - KDN
- Suara Keadilan
- Mar 10
- 2 min read

Dakwaan yang digembar-gemburkan oleh penyokong pembangkang bahawa ramai warga China mendapat kewarganegaraan adalah mengarut kerana data Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunjukkan bawah satu peratus rakyat republik itu diberikan status kerakyatan sepanjang 15 tahun lalu.
Kementerian itu berkata rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan kelulusan permohonan kewarganegaraan dari 2010 hingga 2024 direkodkan sebanyak 23.52 peratus diberikan kepada warga Indonesia, India (6.76 peratus), Thailand (5.02 peratus) dan Filipina (2.77 peratus).
"Sebanyak 0.91 peratus (kewarganegaraan) diberikan kepada rakyat China," kata KDN dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada soalan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) bertarikh 6 Mac yang dimuat naik di laman web Parlimen.
Bagaimanapun, butiran mengenai 61.02 peratus lagi permohonan kewarganegaraan yang telah diluluskan melibatkan lain-lain negara tidak didedahkan.
Sementara itu, kementerian itu berkata permohonan taraf penduduk tetap (MyPR) bagi tempoh sama pula merekodkan Filipina sebagai jumlah tertinggi iaitu 35.55 peratus diikuti Indonesia (26.38 peratus), Thailand (8.73 peratus).
India pula mencatatkan sebanyak 5.99 peratus manakala Singapura (2.72 peratus) dan lain-lain (20.63 peratus), katanya.
Sementara itu, berdasarkan jawapan tersebut, tiada rekod dinyatakan mengenai jumlah rakyat China mendapat status MyPR.
Pada November tahun lalu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata seramai 203 warga China diberikan kewarganegaraan Malaysia sejak 2013 berdasarkan peruntukan Seksyen 15(1) dan Seksyen 19(1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata angka itu bertentangan dengan dakwaan bahawa terdapat kira-kira 1.2 juta warga China yang memasuki negara ini tetapi tidak keluar dan kemudiannya diberikan kerakyataan.
Saifuddin menegaskan, Menteri Dalam Negeri sebelum ini iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menafikan dakwaan berkenaan ketika kerajaan Perikatan Nasional berkuasa.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Saifuddin berkata kementeriannya sudah meluluskan hampir 14,000 permohonan kewarganegaraan yang dipohon sejak 2013 dengan 75 peratus daripadanya mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Pendaftaran Kewarganegaraan Dalam Keadaan Khas yang terbahagi kepada tiga jenis permohonan.
"Yang pertama anak tidak saf taraf, kedua anak jagaan dan ketiga anak angkat. Jadi ini yang paling banyak daripada 14,000 permohonan yang sudah saya berikan keputusan," ujarnya.
Comments