Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merakam percakapan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin pada 7 Januari lepas, berhubung suatu hantaran palsu mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya itu dalam kenyataan berkata tindakan itu susulan aduan orang ramai berhubung akaun media sosial di platform Facebook yang didapati menyebarkan suatu hantaran palsu tersebut dengan salah satu akaun terlibat membabitkan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu.
"SKMM telah menerima aduan orang ramai berhubung akaun-akaun media sosial di platform Facebook yang didapati menyebarkan suatu hantaran palsu mengenai Perdana Menteri. Hasil siasatan mendapati, kebanyakan akaun terbabit merupakan akaun palsu.
"Namun, pihak SKMM telah mengenal pasti bahawa salah satu daripada akaun yang diadukan adalah akaun milik ADUN Sungai Burong, Selangor," kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu berkata, rakaman percakapan itu adalah bagi membantu siasatan pihak polis berkaitan kes berkenaan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pemeriksaan yang dijalankan bersama polis, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes bagi membantu siasatan serta analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti itu untuk siasatan lanjut.
"SKMM mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila memuat naik sebarang hantaran di media sosial dan memastikan maklumat yang disebarkan adalah benar dan sahih, bagi menjamin persekitaran dalam talian yang berintegriti dan selamat demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Sebelum ini laporan polis telah dibuat terhadap ADN Sungai Burong itu dan seorang lagi individu Aiman Zaki ekoran dua hantaran Facebook yang memfitnah Perdana Menteri melalui hantaran Facebook mendakwa bahawa Anwar memberi sokongan solidariti kepada aktivis KEADILAN Iswardy Morni yang didapati bersalah menghina Yang di-Pertuan Agong, sedangkan ia adalah palsu.
Ketua Cabang KEADILAN Lumut, Abdul Razak Nazri yang membuat laporan polis tersebut mahu pihak polis menyiasat kedua-dua individu di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan dengan memuatnaik kandungan yang bersifat fitnah, palsu atau menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Laporan sama dibuat Naib Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Selangor, Azli Yusof yang juga Ahli Parlimen Shah Alam dan Ketua Penerangan Pakatan Harapan Selangor, Abbas Azmi.
Pentadbir akaun Facebook Zamri itu kemudian menarik balik hantaran tersebut setelah menyedari ia adalah palsu dan meminta maaf atas kesilapan tersebut.
Pada 30 Disember lalu, Iswardy didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial Facebook miliknya yang berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk M.M. Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Iswardy Morni, 47, di akhir kes pembelaan.
Mahkamah menetapkan 23 Januari ini untuk mendengar hujahan mitigasi sebelum menjatuhkan hukuman.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Comments