Syarikat Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) yang dilaporkan menerima hak atau kuasa penuh mengedarkan gas di negeri itu seharusnya membuat kenyataan bersama dengan Petronas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
Pemimpin KEADILAN Sarawak, Senator Abun Sui Anyit berkata demikian mengulas dua laporan berita yang agak bercanggah mengenai hak pengedaran gas berkenaan.
Beliau memetik laporan media The Star (1 Nov 2024) yang memetik Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) berkata, hak pengedaran berkenaan sedang dirunding lanjut dan laporan Berita Harian (31 Okt 2024) menyebut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, PETROS kini menjadi agregator gas tunggal di negeri itu.
"Saya tidaklah terkejut membaca laporan media di mana dikatakan PETROS diberi kuasa sepenuhnnya mengedar gas di Sarawak.
"Dengan laporan ini, adalah lebih elok supaya YAB Premier Sarawak diberikan maklumat tepat sebelum sebarang kenyataan media diberikan," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Abun, kenyataan bersama kedua dua entiti yang menguasai pengedaran gas di Sarawak itu pastinya tidak akan bercanggah sekiranya telah sepakati dengan teliti oleh kedua dua wakil syarikat.
"Oleh kerana pengedaran gas di Sarawak masih dalam perbincangan, sebarang kenyataan media patut dibuat secara bersama.
"Ini penting untuk tidak mengelirukan rakyat Malaysia dengan kenyataan sepihak sahaja," katanya kagi.
Untuk rekod, Kerajaan Sarawak sebelum ini memutuskan bahawa PETROS akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di negeri itu bermula 1 Julai lalu, namun PETRONAS meminta penangguhan pelaksanaan pengambilalihan itu kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.
Berikutan itu, kerajaan Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada PETRONAS untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan PETROS.
Comments