
Cadangan mengehadkan tempoh masa memegang sesuatu jawatan dalam Islam bukan perkara yang bertentangan dengan kehendak Tuhan sebagaimana didakwa Presiden Pas Hj Hadi Awang, sebaliknya ia adalah perkara "ijtihadi" yang boleh diambil atau ditolak berdasarkan keperluan pentadbiran semasa, kata seorang ahli Majlis Ulama UMNO.
Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu juga selaras dengan pendirian Kesatuan Ulama Islam Sedunia bahawa perkara tersebut tidak mempunyai halangan dari segi hukum syarak.
"Tokoh ulama terkenal, Dr Ali Mohammad al-Sollabi, Setiausaha Kesatuan Ulamak Islam Sedunia dalam tulisannya pada 2021 menyatakan bahawa "tiada halangan pada syarak memasukkan syarat menetapkan tempoh masa jawatan presiden.
"...ruh sistem Islam tidak bertentangan sama sekali dengan penetapan tempoh presiden dengan tempoh tertentu apabila kontrak jawatan mengandungi perkara itu dan dinaskan (dimaktubkan) pula dalam perlembagaan negara"," katanya dalam hantaran di Facebook.
Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkata, meskipun rata-rata khalifah Islam dan menjadi amalan raja-raja Melayu Islam memerintah hingga akhir hayat, pembantu mereka seperti bendahara bergantung kepada pemilihan pemerintah.
"Amalan di Amerika Syarikat dan Indonesia mengehadkan tempoh Presiden kepada maksimum lapan dan 10 tahun.
"Amalan semasa di negara kita, tempoh perjawatan kerajaan selalunya sehingga pada umur pencen. Semuanya adalah perkara ijtihad pentadbiran," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau yang juga penasihat agama kepada Timbalan Perdana Menteri berkata isu tersebut telah dibahas panjang lebar oleh tokoh-tokoh ulama Islam khususnya, dan menolak pandangan Hizbu Tahrir yang dianggap sebagai parti ekstrem dalam tulisan rasminya pada 2016, menegaskan "tiada bagi khalifah tempoh tertentu dengan masa tertentu".
"Pandangan serta dalil yang Hizbu Tahrir kemukakan telah dibalas dan ditolak oleh para alim ulama Arab Saudi, Mesir dan juga Jordan dengan menegaskan ia pandangan yang salah kerana tiada nas syarak yang menetapkannya," kata beliau.
Khairuddin menegaskan sistem politik Islam adalah berasaskan sistem syura di mana sekiranya ia menetapkan tempoh atau tidak menetapkannya, itu adalah keputusan syura umat Islam.
"Dalam konteks negara moden, parlimen adalah sebahagian sistem syura rakyat. Parlimen boleh membuat keputusan ijtihad dalam penetapan tempoh perjawatan pentadbiran tertinggi negara kerana ia tidak ditetapkan oleh nas yang qatie dalam Islam," jelasnya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk dipinda Perlembagaan Persekutuan dengan mengehadkan tempoh jawatan PM untuk dua penggal atau 10 tahun.
Hal itu bagi mengelakkan seseorang terlalu lama menjawat jawatan nombor satu berkenaan sehingga membuka kepada ruang penyelewengan sebagaimana berlaku pada era pentadbiran Tun Mahathir dua dekad lalu.
Comentarios