
Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Tuduhan bahawa Kerajaan Madani gagal untuk menunaikan janji reformasi telah sekali lagi disangkal oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) melalui pengumuman bahawa janji melaksana agenda reformasi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun bakal dilaksanakan.
Perkara ini disambut baik oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) terutamanya Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke kerana janji itu terkandung dalam manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) lalu. Anthony juga berharap agar kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan ini bagi menunaikan janji tersebut.
Hindari sejarah kediktatoran
Kesediaan PMX dalam melaksanakan janji tersebut didorong oleh rasa prihatin untuk memastikan pentadbiran Malaysia terhindar daripada unsur-unsur diktator seperti yang pernah dialami oleh negara-negara yang diperintah untuk tempoh yang lama (22 tahun) oleh seorang pemimpin.

Pengenalan kepada dasar ini bukanlah sesuatu yang janggal kerana di negara mundur seperti di benua Afrika dan Arab, dasar tersebut telah lama digunapakai. Dasar mengehadkan tempoh jawatan telah lama wujud, ia dapat dikesan mula diamalkan semasa zaman Yunani Purba dan Republik Rom. Tamadun-tamadun besar dalam sejarah dunia juga tidak terkecuali mengamalkan dasar ini seperti Republik Perancis, Republik China dan Republik Indonesia.
Dasar ini mendapat sokongan daripada rakyat sepanjang sejarah perlaksanaannya, namun perlaksanaannya sering kali terganggu oleh niat pemerintah yang gilakan kuasa. Pemimpin seperti Julius Caesar, Napoleon Bonaparte dan Vladimir Putin telah menghapuskan pengamalan dasar yang baik ini demi mengejar cita-cita politik mereka yang tidak bersempadanan.
Hanya pemimpin yang benar-benar mendokong semangat dan cita-cita rakyat akan berani untuk melaksanakan dasar tersebut seperti PMX. Pemimpin yang terlalu obses dengan kuasa akan sedaya-upaya cuba untuk mempertahankan kekuasaannya sehingga ke akhir hayat, perkara ini terbukti apabila wujud pemimpin yang menjangkau usia 100 tahun namun masih belum mahu berundur daripada gelanggang kekuasaan.
Kekuasaan buka peluang kekayaan
Terdapat pelbagai sebab untuk seorang pemimpin berusaha mengekalkan pemerintahannya tanpa sebarang dasar mengehadkan tempoh penjawatannya. Sebab paling utama adalah kerana pemimpin tersebut melihat kekuasaan yang dimilikinya membuka banyak peluang dan kekayaan untuk diri dan keluarga, perkara ini dapat dilihat semasa Ferdinand Marcos kehilangan jawatan sebagai Presiden Filipina di mana Mahkamah Agung Filipina melaporkan bahawa beliau mengumpul kekayaan sebanyak $10 bilion dolar sepanjang beliau berkuasa.
Kekayaan tersebut pasti tidak munasabah bagi pemimpin sebuah negara yang menerima gaji sebanyak $13,500 setahun dan 40% populasinya mempunyai pendapatan kurang daripada $2 sehari. Terdapat juga pemimpin yang berusaha sedaya-upaya mengekalkan kekuasaannya walaupun terpaksa melanggar dasar had tempoh penjawatan kerana takut kepada kemungkinan menghadapi pendakwaan jenayah apabila meninggalkan jawatan.
Pekara ini belaku kepada Hosni Mubarak yang sehingga digulingkan cuba mempertahankan kekuasaanya kerana takut terhadap penganaiyaan sepanjang pemerintahannya yang telah dilakukan terhadap rakyanya, setelah digulingkan beliau berhadapan dengan pertuduhan bunuh dan korupsi di mahkamah.
Dua cabaran rumit
Perlaksanaan dasar mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri di Malaysia bakal berhadapan dengan dua cabaran yang rumit untuk diselesaikan. Cabaran pertama adalah berkenaan mekanisme untuk memastikan tiada cara untuk seseorang Perdana Meneri mencari helah untuk memanjangkan tempoh kekuasaanya. Secara teknikalnya perkara tersebut boleh dilakukan dengan melanjutkan pemerintahan tanpa tempoh tambahan melalui melanjutkan tempoh penggal, menangguhkan pilihanraya atau meletakkan jawatan secara rasmi tetapi mengekalkan kawalan de facto kerajaan.
Cabaran kedua ke arah perlaksanaan dasar ini adalah undian 2/3 (148 undi) di dalam Parlimen untuk meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini diakui sukar oleh PMX berdasarkan peristiwa pinda Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen yang ditentang pembangkang dengan cara berkecuali.
Walaupun berhadapan dengan kesukaran dan cabaran, PMX telah memberi tekad bahawa usaha reformasi untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan tetap cuba dilaksanakan dalam tempoh pemerintahan beliau. Seharusnya usaha murni yang mengangkat aspirasi rakyat dan semangat demokrasi ini disokong oleh semua pihak tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Hanya pemimpin yang gilakan kuasa seperti diktator sahaja akan menentang usaha reformasi yang murni ini.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comentarios