
Kenyataan CUEPECS mendakwa golongan guru merupakan kumpulan penjawat awam yang paling banyak terbabit dalam salah laku memalsukan sijil sakit menimbulkan pelbagai persoalan.
Bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, statistik CUEPACS itu memerlukan penjelasan lanjut kerana kekeliruan yang ditimbulkannya menjejaskan imej guru di mata masyarakat.
"Saya memandang serius terhadap dakwaan CUEPACS bahawa golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terbabit dalam salah laku memalsukan surat sakit.
"Saya beranggapan ianya adalah kerana dari segi jumlah, guru merupakan antara golongan penjawat awam yang terbesar. Maka statistik ini mudah disalahfaham oleh orang awam dan saya berasa CUEPACS boleh tampil bantu memberikan penjelasan.
"Memang guru bukanlah insan sempurna. Namun majoriti mereka memang gigih dan komited dalam bidang pengajaran, sejajar dengan pengalaman hidup semua bersama guru-guru kesayangan kita," katanya dalam kenyataan.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia itu turut merakamkan penghargaan sempena hari guru yang jatuh pada hari ini kepada golongan tenaga pengajar dalam apa jua bidang.
"Selamat Hari Guru Sedunia. Terima kasih kepada 400,000 golongan guru yang tak pernah lelah membimbing, menginspirasi, dan mendidik anak-anak kita dengan penuh dedikasi.
"Setiap pelajaran yang diajarkan, setiap nasihat dan motivasi yang diberikan, adalah bekal berharga yang dibawa oleh kita sepanjang hidup," katanya lagi.
Comentários