Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam tindakan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menjadikan nama Allah dan Rasul sebagai bahan sinis dan jenaka semasa berbahas isu berkaitan gaji minimum di Dewan Rakyat semalam.
Ketua Penerangan AMK Wilayah Persekutuan, Muhammad Azha Salahudin menyifatkan, kenyataan Timbalan Presiden Pas itu sebagai satu perbuatan tidak wajar dari seorang pemimpin parti yang mahu dikenali memperjuangkan Islam.
Katanya, perbuatan tersebut bukan sahaja melampau bahkan telah melukakan hati dan perasaan umat Islam di negara ini.
"Tindakan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menjadikan nama Allah dan Rasul sebagai bahan jenaka semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat merupakan satu perbuatan yang terkutuk.
"Perbuatan beliau ini juga telah disokong oleh Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin yang turut sama menjadikan perkara ini seolah olah bahan jenaka semata-mata untuk menyerang PMX.
"Sebagai umat Islam, Tuan Ibrahim dan Hamzah Zainuddin sepatutlah lebih sensitif dan menjaga adab serta tidak mempergunakan nama Allah swt dan Rasul sebagai modal politik murahan hanya untuk menyerang pihak lawan," katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Azha yang juga Ketua Penerangan AMK Setiawangsa berkata, pembangkang sepatutnya menggunakan ruang perbahasan di Dewan Rakyat untuk membahaskan isu dan permasalahan rakyat.
Bukannya secara tidak wajar mempergunakan nama Allah dan Rasul sebagai modal politik hanya untuk menyerang pihak lawan.
"Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini mengaku sebagai gabungan parti memperjuangkan Islam ternyata tidak seperti yang digambarkan.
"Mereka bersifat munafik, menggunakan slogan Islam hanya untuk mengaburi mata rakyat khususnya orang Melayu dan Islam," tempelak beliau.
Semalam, Ahli Parlimen pembangkang dilaporkan membangkitkan persoalan bagaimana PM Anwar memperoleh pendapatan sekiranya beliau tidak mengambil sebarang gaji daripada jawatan yang disandangnya.
Perkara itu awalnya dibangkitkan oleh Tuan Ibrahim yang mencelah ketika Hamzah membahaskan Belanjawan 2025.
Kata Tuan Ibrahim, seorang Rasul pun diberikan 'peruntukan' oleh Allah untuk rezekinya maka keadaan Anwar tidak mengambil gaji dianggap 'lebih daripada Rasul'.
"Saya rasa dia (Tambun) tak boleh berselindung di sebalik kenyataan dia tak ambil gaji sebab kalau tengok dari segi data yang ada, Rasul pun ada peruntukan yang Allah bagi.
"Ini nampak lebih daripada Rasul ni. Mungkin dia malaikat kut, dia tak makan gaji.
"Atau pun mungkin dia transfer (pindahkan) saja, dia tak ambik (secara fizikal) tapi dia online," katanya dalam nada menyindir.
Comments