GST hanya sesuai dilaksanakan sekiranya gaji minimum RM3,000 - PM
- Suara Keadilan
- Oct 13, 2024
- 1 min read

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang ditentang oleh Pakatan Harapan sejak hampir sedekad lalu hanya sesuai dilaksanakan di Malaysia sekiranya pendapatan minimum rakyatnya mencecah RM3,000-RM4,000 sebulan.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-78 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, meskipun cukai GST dianggap cekap dan mampu mengembangkan dana kerajaan namun beliau tidak mahu golongan miskin terbeban akibat cukai regresif berkenaan.
"Saya bersetuju, GST adalah sistem cukai yang paling telus dan cekap…tetapi pandangan saya adalah, beri sedikit masa, beberapa tahun, (kita mesti) pastikan ambang gaji meningkat kepada minimum RM3,000-RM4,000, kemudian barulah kita boleh selaraskan dasar," katanya dipetik Bernama.
Pada waktu ini gaji minimum pekerja di Malaysia hanya RM1,500 sebulan.
Kenyataan PM itu menutup spekulasi yang ditimbulkan di media sosial menjelang pembentangan Belanjawan 2025 bahawa kerajaan mungkin akan kembali melaksanakan GST bagi mencari lebih banyak hasil untuk mengimbangi bantuan lebih besar yang perlu diberikan kepada golongan B40 bagi mengurangkan jurang pendapatan di negara ini.
Comments