Oleh: Abdullah Zaid
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2023) mencatatkan seramai 11,713 calon memperoleh semua A berbanding 10,109 calon pada 2022 adalah sesuatu yang membanggakan.
Menurut Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) KEADILAN, Amidi Abdul Manan, peningkatan keputusan SPM 2023 menunjukkan dasar Kementerian Pendidikan berada pada landasan yang tepat memandangkan calon SPM tahun lalu adalah generasi pertama tanpa melalui Pentafsiran Tingkatan 3 (PT3).
Hal itu, katanya membuktikan tanpa penilaian menengah rendah, pelajar masih mampu mencapai Gred Purata Nasional (GPN) 4.60, berbanding 4.74 pada 2022.
Secara perbandingan, jelas Amidi, Gred Purata Mata Pelajaran (GMP) SPM 2023 bagi Bahasa Melayu ialah 3.86, Bahasa Inggeris (4.94) dan Matematik (5.28) mencatatkan peningkatan berbanding SPM 2022 Bahasa Melayu (3.96), Bahasa Inggeris (5.13) dan Matematik (5.43).
"Saya bawakan hanya tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik kerana ia adalah kemahiran yang dipupuk sekian lama dari peringkat asas lagi.
"Jelas membuktikan tanpa peperiksaan (istilah orang awam) pelajar masih mampu untuk mencapai gred purata keseluruhan yang lebih baik," kata beliau dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, jelas Amidi yang juga mantan seorang pendidik, data-data keputusan peperiksaan penilaian tinggi tersebut masih perlu dihuraikan dan diperincikan lagi oleh pihak Kementerian Pendidikan.
"Syabas saya ucapkan kepada para pendidik yang melaksanakan tugas dengan cemerlang. Pentaksiran demi pentaksiran yang dibuat, ikhtiar intervensi yang dilakukan memberikan hasil yang diimpikan.
"Sudah tentu kejayaan ini bukan kejayaan para guru yang mengajar calon SPM 2023 sahaja, tetapi ia adalah kejayaan bagi semua warga pendidik dari setiap tingkat dan segenap lapisan," ujarnya.
Commentaires