Oleh: Abdullah Zaid
Persembahan grafik manusia atau ‘human graphic’ dalam aksara bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan sebagainya ketika sambutan hari kemerdekaan baru-baru ini sengaja dijadikan isu oleh laskar siber pembangkang.
Malah video tular yang ditujukan kepada penduduk luar bandar sengaja dibayangkan hanya bahasa Mandarin sahaja yang terpapar dalam persembahan para pelajar sekolah itu bagi menaikkan kemarahan masyarakat Melayu.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor, Atillah Sani menyifatkan laskar siber pembangkang ketandusan isu sehingga memainkan isu tidak produktif sedemikian rupa untuk dibesar besarkan.
Katanya, grafik manusia itu boleh juga dimaksudkan sebagai mengiktiraf kemerdekaan Malaysia turut diperjuangkan oleh semua kaum di negara ini.
"Isu tulisan ini tidak perlu dijadikan satu isu besar sebab kita tak boleh menidakkan usaha semua kaum dalam perjuangan kemerdekaan.
"Persembahan bahasa ini tidaklah hanya dipamerkan bahasa Mandarin sahaja, ada bahasa Tamil, bahasa Murut dan banyak lagi ditunjukkan dalam persembahan.
"Fokusnya, kita tidak seharusnya (fokus) kepada tulisan tetapi mesti disalurkan kepada perkara yang lebih kritikal dalam Hari Kemerdekaan," katanya ketika dihubungi.
Jelas beliau, adalah lebih baik laskar siber pembangkang memaknai erti kemerdekaan itu dengan usaha-usaha menguatkan lagi integrasi nasional dan bukan bertindak seperti 'mencurah minyak ke dalam api'.
"Bagi saya lebih baik penyokong pembangkang melihat bagaimana boleh membantu merangka satu bentuk pembentukan negara bangsa Malaysia yang jitu untuk perpaduan.
"Perkara ini yang perlu kita berikan keutamaan sesuai dengan tema Hari Kebangsaan iaitu jiwa yang merdeka. Jangan kita cemari "Jiwa Merdeka" ini dengan retorik politik yang sempit," ujarnya lagi.
Kelmarin tular grafik manusia sambutan Hari Kemerdekaan yang didakwa laskar siber hanya memaparkan bahasa Mandarin.
Tindakan itu sekali gus mendapat reaksi pelbagai pihak yang menyifatkan ianya sebagai bermotif politik selain tidak menghormati kepelbagaian kaum dalam negara.
Comments