Oleh: Akmal Manaf
Golongan pereka, arkitek, dan profesional industri diseru untuk terus menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi, inovatif dan beretika.
Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, pada masa sama ekosistem sihat yang didorong oleh integriti dalam sektor reka bentuk dan pengubahsuaian di negara ini juga perlu dibina.
"Saya percaya misi kerajaan adalah jelas dan berhasrat untuk mengangkat, membangun, dan mempromosikan pereka dan arkitek tempatan dengan membawa kreativiti serta reputasi mereka ke pentas global.
"Saya juga percaya dengan menyediakan platform untuk berinteraksi antara pakar industri, pelanggan berpotensi, pembekal, dan rakan kongsi. Kita akan dapat memacu perkembangan globalisasi dalam industri ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Anugerah Rekaan Cemerlang Rekatone - Anugerah Antarabangsa (REXDA) yang diadakan di ibu negara, hari ini.
Majlis yang dirasmikan oleh beliau itu diadakan bertujuan menghargai individu dan syarikat yang cemerlang dalam bidang reka bentuk dan pembinaan, serta mempamerkan reka bentuk inovatif dan kreatif Malaysia di pentas antarabangsa.
Menurut Mohd Najwan lagi, pengiktirafan daripada kerajaan dan pihak antarabangsa dapat memupuk budaya kecemerlangan dalam dunia reka bentuk.
"Ini akan memberi manfaat bukan hanya kepada syarikat, tetapi juga kepada masyarakat, pengguna dan negara kita secara keseluruhannya.
"Saya juga ingin menekankan betapa pentingnya inovasi dan reka bentuk pintar dalam usaha kita mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) iaitu elemen yang kini menjadi semakin penting dalam semua aspek kehidupan kita," ujar beliau.
Dengan menggabungkan teknologi dan elemen ESG dalam reka bentuk, Mohd Najwan yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor menyifatkan, ia bukan sahaja dapat mencipta ruang yang lebih baik, tetapi dapat menyumbang kepada pembangunan mampan.
Comments