Oleh: Akmal Manaf
Cakna dengan masalah yang dihadapi masyarakat kampung di daerah Sipitang, Sabah, seramai 42 penduduk yang memerlukan telah menerima bantuan berupa kepingan zink bagi memperbaiki kediaman masing-masing.
Menurut satu kenyataan, bantuan daripada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri iaitu Datuk Azman Abidin, telah disampaikan oleh Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Sabah, Junaidah Makku bersama Timbalan Ketua Srikandi KEADILAN Sabah, Noraishah Malulur, Cabang-Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Srikandi baru baru ini.
"Semua penerima menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Azman atas keprihatinan beliau melihat masalah yang melanda warga Sipitang, Sabah.
"Mereka turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Pegawai Khas Datuk Azman, iaitu Ahmad Umar Khair Zainuddin yang membantu mempermudahkan bantuan tersebut di saat ramai penerima yang terjejas menyambut perayaan Krismas," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, penerima yang beragama Islam dan Kristian turut mengambil kesempatan berdoa memanjatkan kesyukuran agar Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus diberi kekuatan dan dipermudahkan dalam mentadbir negara tercinta.
Comentários