Keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berhubung kegiatan GISB Holdings (GISBH) akan disembah maklum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
"Keputusan sudah dibuat dalam mesyuarat (kelmarin) dan kita akan bawa menghadap kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sebelum diwartakan," kata Exco Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah dipetik laporan media.
Sultan Sharafuddin baru-baru ini menitahkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.
Titah itu susulan serbuan polis ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan dikaitkan kumpulanitu atas dakwaan eksploitasi kanak-kanak dan agama.
Dalam serbuan terhadap kumpulan dikaitkan dengan Al-al-Arqam itu, seramai 171 individu ditahan manakala 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara setahun hingga 17 tahun diselamatkan.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dipetik laporan media berkata, pihaknya mengesan beberapa amalan dan kepercayaan ahli GISBH bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.
Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ahli kumpulan itu turut mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan memberi keberkatan dan membolehkan mereka masuk syurga.
"(Mereka ini) mengamalkan Aurad Muhammadiah, percaya Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib, mayat Abuya terapung kerana Allah angkat Abuya, Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran kumpulan," katanya pada Rabu.
Comments